‘Ajaran Agama Ibu Yati’ adalah ajaran sesat

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan dakwaan ajaran sesat ‘agama Melayu’ yang dikatakan dibawa oleh individu dikenali ‘Ibu Yati’.

Nasrudin berkata, pihak berkuasa agama Islam sedang menyiasat perkara itu dan bakal mengambil tindakan sewajarnya.

“Sehari dua ini kecoh pula dengan lahirnya agama baru yang dikenali sebagai agama Melayu. Menggunakan lafaz syahadah yang pelik (seperti yang saya dengar lafaznya ila ha ila ra ila ma) dan disambung dengan pengakuan aku Melayu sebanyak tujuh kali.

“Menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam arab. Kononnya mereka membawa Islam Melayu.

“Insya-Allah, dari sudut penguatkuasaan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan berhikmah.

“Bagi agensi dakwah seperti Yadim pula sentiasa siap untuk memberi kefahaman dan pemurnian akidah serta fikrah,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dibawa oleh individu yang dikenali sebagai Ibu Yati ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin menggesa kerajaan meminda segera pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 (RUU355).

Ini, tegasnya bagi menangani isu-isu penyelewengan akidah.

“Pindaannya membolehkan kerajaan mengambil tindakan lebih tegas ke atas umat Islam yang murtad, menghina Agama Islam dan melakukan penyelewengan berkaitan akidah dan kesalahan syariah.

“Saya menyokong penuh gagasan Rabbani yang dilancarkan oleh Menteri Agama (Dr Zulkifli Mohamad). Dan saya tidak reda agama kita terus dipermainkan oleh mana-mana pengamal dan pengikut ajaran sesat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Manhaj Rabbani, kata menteri agama berteraskan tiga ciri utama diangkat sebagai dasar Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dr Zulkifli dilaporkan berkata, ciri utamanya Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme) akan terus dilaksanakan di setiap agensi di bawah jabatan itu.

“Dasar Manhaj Rabbani adalah suatu konsep yang dekat dengan kita, jelas, mudah difahami dan mampu diterjemahkan di peringkat individu, komuniti, organisasi dan negara,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker