Polis Kelantan kaji jika peningkatan kes seksual ada kaitan dengan Covid-19

Polis Kelantan masih mengkaji sama ada peningkatan kes jenayah seksual di negeri itu sepanjang tahun lalu turut disebabkan faktor wujudnya ancaman pandemik Covid-19 atau tidak.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata berbanding 2019 trend jenayah seksual pada 2020 menunjukan peningkatan.

“Bagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), semalam genap setahun (kes Covid-19). Di Kelantan ini trend jenayah agak berbeza sedikit.

“Bagi kesalahan-kesalahan seperti rogol dan cabul agak meningkat dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Kalau ikut statistik pada 2019, sebanyak 164 kes seksual dilaporkan. Pada 2020 terdapat 184 kes iaitu kenaikan 20 kes,” katanya kepada media selepas meninjau sekatan jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Tambah Shafien, peningkatan bagi kes lain juga berlalu – seperti membabitkan keganasan rumah tangga – namun ia tidak begitu ketara.

“Daripada 519 kes (pada 2019) menjadi 523 kes pada tahun lalu.

“Sama ada ada kes-kes ini ada kaitan dengan pandemik Covid-19 atau PKP ia masih dalam kajian,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan seramai 125 pegawai dan anggota PDRM di Kelantan disahkan positif Covid-19 dalam tempoh setahun.

“Situasi semasa pula, ada lima anggota yang positif selepas mempunyai kontak rapat dengan orang kena tuduh (OKT) dan seramai 35 orang sedang menjalani kuarantin,” jelas Shafien.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker