Surat dari Miti tak sebut penutupan ekonomi serta-merta – Eurocham
Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham Malaysia) tampil memberi penjelasan selepas pendedahan surat yang dikirimkan kepada anggotanya mengenai kemungkinan penutupan ekonomi sekiranya jumlah kes Covid-19 terus meningkat pada 4 Februari.
Eurocham Malaysia, dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa pekeliling dalaman sulit yang dihantar kepada anggota mereka itu susulan pertemuan tidak rasmi dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
“Eurocham Malaysia ingin menjelaskan bahawa meskipun Miti memaklumkan situasi yang semakin mendesak saat ini, memandangkan jumlah kes yang semakin meningkat, tidak ada disebut mengenai penutupan ekonomi serta-merta selepas 4 Februari.
“Oleh itu, kami harap agar orang ramai tetap fokus pada gambaran yang lebih besar – dalam menggalas tugas bersama bagi memastikan agar penutupan ekonomi dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Eurocham Malaysia mengatakan bahawa makluman sulit itu bertujuan untuk menyampaikan inti pati perjumpaan tidak rasmi dengan Miti dan juga usaha terpuji kerajaan Malaysia dalam menangani Covid-19.
Menurut surat pekeliling yang dibocorkan oleh ketua pegawai eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider kepada anggota dewan itu, ia mengatakan bahawa kerajaan telah memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan telah membuat “pendirian yang jelas mengenai hal penutupan ekonomi sepenuhnya”.
“Jika kadar jangkitan tidak berkurang, kerajaan akan mengumumkan penutupan/sekatan pergerakan ketat serta-merta selepas 4 Feb.
“Inilah situasi semasa yang sedang kita hadapi dan Miti meminta semua syarikat, sama ada tempatan atau dari luar, untuk menyertai usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, dan agar ekonomi terus berjalan,” menurut surat itu.
Pengerusi Eurocham Malaysia Oliver Roche, dalam kenyataannya malam ini, mengatakan bahawa pihaknya menghargai hubungan kerja yang erat dengan kerajaan Malaysia.
Dia mendesak perniagaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan ekonomi ditutup semasa perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) yang sedang berlangsung.
“Terdapat banyak laporan di media mengenai kluster jangkitan yang berkaitan dengan pelbagai kilang, tapak pembinaan dan tempat kerja lain. Adalah mustahak kita mendesak komuniti perniagaan untuk memandang serius perkara ini dan yang lebih penting adalah menggalas tugas mereka, dengan melabur dalam sumber untuk membantu melaksanakan SOP yang ketat – untuk mengelakkan PKP penuh lagi,” katanya.
Sementara itu, Schneider dalam kenyataan yang sama juga memuji usaha Putrajaya dalam memerangi wabak Covid-19.
“Walaupun kita memusatkan perhatian pada pandemik dan kesan negatifnya terhadap ekonomi, penting juga untuk melihat berapa banyak yang telah dilakukan kerajaan Malaysia demi rakyat, dan perhatikan bahawa semua orang, dari masyarakat massa hingga komuniti perniagaan, mempunyai tanggungjawab untuk melakukan apa yang kita mampu untuk meratakan lekuk jangkitan,” katanya.