PUNB tawar penangguhan bayaran pembiayaan, diskaun sewa premis perniagaan berjumlah RM112.5 juta

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengumumkan pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal dan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus sewa premis perniagaan PUNB selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari lalu membabitkan kutipan berjumlah RM112.5 juta.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar, berkata tindakan proaktif PUNB ini adalah untuk membantu usahawan kekal berdaya tahan dan berdaya saing ketika pandemik COVID-19 masih menular di negara ini.

Menurutnya, penangguhan pembayaran pembiayaan ini hanya terpakai ke atas prinsipal sahaja, manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan.

“Semua Rakan Usahawan PUNB yang mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember 2020 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Januari hingga Jun 2021 ini, dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 Rakan Usahawan PUNB membabitkan kutipan sebanyak RM110juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, sebanyak 226 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara, layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari ini, membabitkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta.

“Saya berharap inisiatif yang diperkenalkan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Rakan Usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan PUNB kerana ramai daripada mereka masih dalam proses untuk pulih dan kembali berdaya saing,” kata Noh.

Tahun lalu, PUNB mengumumkan pemberian inisiatif penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan bermula 1 April sehingga 31 Disember lalu membabitkan kutipan sebanyak RM155 juta.

Selain itu, PUNB memberi pengecualian sewa bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020 untuk 220 premis perniagaan milik PUNB dengan anggaran kutipan sewa sebanyak RM5.3 juta.

Ini diikuti dengan pemberian diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020 membabitkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM1.37 juta.

Sebarang pertanyaan mengenai penangguhan pembayaran pembiayaan, Rakan Usahawan boleh menghubungi Pegawai Pemantauan yang telah ditugaskan melalui telefon atau emel masing-masing.

Manakala untuk pertanyaan, Pegawai Khidmat Pelanggan boleh dihubungi di talian 1300 13 7862 atau 03-2785 1515 atau emel ke [email protected]. – BERNAMA

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker