Pakar: ‘Kelesuan pandemik’ punca sikap tak acuh terhadap SOP Covid-19

Gambar Hiasan

 

PETALING JAYA: Sebuah persatuan perubatan dan seorang bekas timbalan menteri kesihatan menyuarakan kebimbangan berhubung trend yang menyaksikan doktor dan pengamal perubatan berkongsi maklumat pesakit di media sosial.

Trend itu dipercayai lebih menonjol semasa pandemik Covid-19 dengan doktor dilihat menghantar maklumat pesakit, termasuk gambar X-ray dan perincian keadaan perubatan.

Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam, pengerusi Malaysian Medics International (MMI) berkata, walaupun baik untuk melibatkan masyarakat awam dalam perbincangan mengenai kesihatan dan dasar atau membina jaringan melalui media sosial, namun ada risikonya, terutama apabila batas sosial dan profesional menjadi kabur.



“Kini doktor didengar dengan jelas oleh semua orang. Media sosial penuh dengan doktor dan pelajar perubatan yang meluahkan perasaan, berkongsi kekecewaan,dan melepaskan kemarahan mereka,” katanya.

“Kita boleh baca catatan (Twitter) doktor yang menggambarkan bagaimana mereka menangis di tempat kerja, bergelut kerana kurang tidur, hilang sabar dengan rakan sekerja yang tidak cekap, malah membuat silap. Adakah juruterbang juga terbuka seperti itu?,” soalnya.

Vikkineshwaran berkata, doktor kini menjadi ‘influencer’ di media sosial.

“Bagaimanapun saya tidak boleh terima doktor menggunakan media sosial untuk mempromosi pekerjaan mereka.



“Sesetengah mereka mungkin cuba menjustifikasikan tindakan itu sebagai ‘mendidik orang awam’, tetapi di sinilah batasnya menjadi tidak jelas,” katanya kepada FMT.

Apabila berkongsi maklumat pesakit, Vikkineshwaran berkata, persetujuan sangat penting dalam hubungan doktor-pesakit.

“Pesakit mencari doktor ketika mereka sangat memerlukan. Mereka berkongsi maklumat peribadi dan membenarkan doktor memeriksa dan melakukan prosedur dengan harapan dapat menghilangkan penyakit.

“Adalah salah jika doktor mengeksploitasi pesakit, tidak kira apa sahaja niatnya tanpa makluman yang betul dan persetujuan yang disahkan,” katanya.



Doktor dikecam di Twitter

Contoh terbaru trend ini dapat dilihat apabila seorang doktor berkongsi maklumat perubatan pesakitnya di Twitter.

Menurut catatannya, ia merupakan pesakit Covid-19 yang juga menghidap AIDS. Doktor itu juga mendedahkan pesakit tersebut datang dari komuniti LGBT.

Beliau menerima kecaman daripada netizen yang kesal dengan nada catatan itu yang dianggap bersifat menghukum (judgemental) berhubung seksualiti pesakit itu.



Berikutan itu, beliau memadamkan catatan tersebut dan memohon maaf.

Ketika ditanya apakah trend itu boleh menghalang mereka yang datang dari komuniti terpinggir atau yang menghidap penyakit yang membawa stigma tertentu seperti tuberkulosis, penyakit kelamin dan HIV/AIDS daripada mendapatkan rawatan kerana sikap diskriminasi dan stigma terhadap mereka, Vikkineshwaran berkata, doktor tidak boleh bersikap menghukum terhadap mana-mana pesakit.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, walaupun masyarakat perlu dididik mengenai kesihatan secara umum, namun “rujukan kepada mana-mana pesakit mesti bersifat umum dan identiti pesakit mesti dilindungi setiap masa”.

Katanya, wujud keperluan untuk mengelakkan sebarang komen yang bersifat “menghukum” mengenai keadaan atau tingkah laku pesakit.



Vikkineshwaran berkata, pesakit perlu lebih aktif dalam memperjuangkan keperluan dan hak mereka.

“Sekiranya seseorang itu berasa tidak selesa dengan doktor mereka dalam apa jua perkara, mereka mesti menyuarakan kebimbangan itu.

“Hanya demikian kita boleh melakukan semak dan imbang bagi memastikan tiada kesalahan dibuat,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker