Kabinet Sarawak bincang rayuan tarik balik darurat, kata Masing

Anggota Kabinet Sarawak bercadang untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menarik balik perisytiharan darurat di negeri itu sekiranya ia dapat mengawal penularan Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata demikian dalam pesanan aplikasi WhatsApp kepada Bernama setelah beberapa anggota kabinet negeri mengadakan ‘perbincangan secara tidak formal’ mengenai perkara itu.

Katanya, jika rayuan itu dipertimbangkan dengan baik maka ia akan membuka jalan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) kerana tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir Jun ini.



“Ia dibincangkan secara tidak rasmi dalam kalangan rakan sekerja saya sebagai cara mengadakan PRN12 Sarawak (pilihan raya Negeri ke-12), b4 (sebelum) DUN (penggal DUN Sarawak) berakhir pada bulan Jun 2021 setelah MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Kabinet Negeri) (mesyuarat) pada 21.01.21 (Rabu),” demikian pesanan itu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam dan Masing mengesahkan Abang Johari adalah antara mereka terlibat dalam perbincangan tidak rasmi itu.

“Ya, Ketua Menteri (Abang Johari) ada di sana (dalam perbincangan tidak rasmi,” kata Masing.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata arahan untuk mengadakan pilihan raya negeri itu bergantung kepada kemampuan negeri itu menunrunkan jumlah kes baru positif Covid-19.



“Baginda (Al-Sultan Abdullah) mengisytiharkan darurat kerana kita masih berdepan dengan pandemik ini dan dengan meletakkan darurat, ia akan menyekat pergerakan orang ramai .

“Tetapi jika Sarawak dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, kita mungkin meminta Baginda supaya menarik balik darurat di Sarawak dan kemudian mengadakan pilihan raya ini,” katanya.

Pada 12 Jan lalu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa Kabinet telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di bawah Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.



Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat apabila wujud keadaan yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagian terancam.

Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, antara lain, memperuntukkan larangan mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

– Bernama



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker