UMNO perlu berubah, PAS mesti dominan jangan hanya jadi pak turut!
Muafakat harus babitkan juga parti politik lain yang perjuangkan agenda perpaduan Melayu, Islam
BANGI, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Kerjasama dua parti terbesar, UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah strategi paling ampuh bagi memastikan kepentingan Islam dan bangsa Melayu terus terpelihara.
Namun, matlamat utama persepakatan haruslah betul dan jelas demi kemaslahatan bangsa dan negara, bukan semata-mata untuk menjamin survival politik masing-masing.
Paling penting, UMNO perlu berubah dan PAS pula harus lebih dominan dan tidak hanya menjadi pak turut, demikian tegas pemerhati politik, Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad.
Beliau berkata, untuk UMNO kembali relevan, parti itu perlu buang para pimpinan yang mempunyai isu integriti dan menukar pimpinan yang telah berusia.
“Lantik pimpinan muda yang amanah dan berkemahiran tinggi dan UMNO mesti mengkaji semula kerjasama dengan MCA dan MIC serta jadikan Islam sebagai tonggak perjuangan
“Untuk PAS, aspirasi perjuangan menegakkan syiar dan syariat Islam yang dibawa perlu mendominasi agenda muafakat bersama UMNO.
“Ini amat penting bagi mengelakkan PAS diperkudakan bagi mencapai objektif politik UMNO,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Ir Lukman bagaimanapun menjangkakan UMNO amat sukar untuk berubah, namun jika berubah sekalipun katanya, mungkin akan memakan masa yang panjang.
“Jadi PAS haruslah berhati-hati dalam hal ini.
“Justeru, saya mencadangkan permuafakatan ini tidak dibataskan terhadap dua parti politik ini semata-mata, bahkan sepatutnya melibatkan parti politik lain yang memperjuangkan agenda perpaduan Melayu dan Islam,” katanya.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan, parti itu mahu UMNO yang menerajui Muafakat Nasional, dan Bersatu yang mengetuai Perikatan Nasional ‘bergabung’ semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, ini disebabkan ketika ini tiada satu parti yang kuat dan stabil boleh memerintah dengan sendiri tanpa gabungan parti lain bagi membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15.