Bank lanjut moratorium bersasar kepada peminjam terkesan PKP 2.0
KUALA LUMPUR: Institusi perbankan melanjutkan moratorium dan bantuan pembayaran balik bersasar sedia ada kepada mereka yang layak dan terkesan oleh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri ketika ini.
Lanjutan itu terpakai kepada skim Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang diumumkan sebelum ini, terutama mereka yang kehilangan pekerjaan pada 2020 atau 2021, yang mana mereka boleh memohon bantuan pembayaran untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun 2021.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dalam satu kenyataan bersama berkata, bagi individu yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan berikutan pandemik boleh memohon untuk mengurangkan pembayaran balik sejajar dengan pengurangan pendapatan mereka.
Kedua-dua persatuan bank itu juga mengumumkan lanjutan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di beberapa negeri dan mereka yang terkesan diminta menghubungi bank masing-masing untu
“Bagi mereka yang berada dalam kumpulan M40, yang mana adalah penerima Bantuan Prihatin Nasional, bank telah bersetuju untuk pengisytiharan sendiri.
“Bagi individu dalam kategori B40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup or Bantuan Prihatin Rakyat boleh meminta penangguhan ansuran selama tiga bulan, atau mengurangkan ansuran mereka sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” katanya.
ABM dan AIBIM berkata, bagi enterpris mikro dengan pinjaman/pembiayaan, yang mana jumlah kemudahan asal sehingga RM150,000 boleh meminta untuk penangguhan ansuran tiga bulan atau mengurangkan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus untuk enam bulan.
Ia berkata, bantuan pembayaran balik bagi B40, M40 dan enterpris mikro layak untuk pinjaman/pembiayaan diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari pada tarikh permohonan bantuan pembayaran balik dihantar kepada bank.
Semua peminjam/pelanggan lain yang menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman/pembiayaan juga dialu-alukan
untuk menghubungi bank mereka bagi membincangkan pakej bantuan pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan tertentu mereka.
Pada 31 Disember 2020, lebih 1.3 juta permohonan bantuan pembayaran balik diterima, dengan kadar kelulusan 95 peratus.
Pengerusi ABM dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata bank kekal komited untuk membantu pelanggan yang terus berdepan cabaran persekitaran semasa.
Beliau berkata, bank dapat menyesuaikan skim bantuan kewangan khusus dengan keadaan peminjam supaya mereka dapat menstabilkan keadaan kewangan mereka dengan pantas dan menumpukan perhatian pada aspek lain dalam kehidupan mereka yang mungkin memerlukan lebih banyak perhatian.
Sementara itu, Presiden AIBIM dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali, berkata beliau yakin negara lebih bersedia dan begitu juga peserta perbankan dan rakyat dalam menempuh tempoh mencabar ini.
Beliau berkata, komunikasi antara pelanggan terjejas dan bank mesti berterusan bagi manfaat kedua-dua pihak.
“Bantuan pembayaran masih tersedia untuk mereka yang terjejas,” katanya.
You must be logged in to post a comment.