Persoal SOP masjid sama seperti persoal sultan – Ismail

Sultan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kepada mereka yang mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) ketat di masjid, agar tidak menyalahkan kerajaan pusat.

Sebaliknya, katanya, SOP untuk masjid terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri, yang terletak di bawah kuasa sultan-sultan negeri.

“Kalau ada yang mempersoalkan SOP masjid yang ketat, bermaksud mereka mempersoalkan perintah daripada sultan dari negeri-negeri yang berkaitan.

“Perlu berhati-hati dalam keluarkan kenyataan yang salahkan kerajaan…ia dianggap ditujukan kepada sultan di negeri-negeri.

“[…] Bila salahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bermaksud menyalahkan pihak berkuasa agama negeri, dan juga sultan-sultan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Ismail menjawab kritikan sebahagian pendakwah berkenaan SOP bagi masjid yang berbeza mengikut negeri.

Katanya, kerajaan pusat dan MKN tiada peranan dalam menentukan SOP di masjid.

“Tak ada kena-mengena sekali pun dengan kerajaan persekutuan, khususnya MKN,” kata Ismail.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Sultan merupakan ketua agama Islam di negeri.

Yang di-Pertuan Agong pula menjadi ketua agama Islam untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, selain Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak – iaitu negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan.

Bagaimanapun, di bawah Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berada di bawah Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ini bermakna ada kemungkinan penglibatan persekutuan dalam menetapkan SOP di masjid di kawasan-kawasan terbabit.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker