Desakan akar umbi Umno mahu putus kerjasama bukan masalah besar, kata PPBM Terengganu
PETALING JAYA: PPBM Terengganu tidak melihat keputusan akar umbi Umno, termasuk di Terengganu, untuk tidak bekerjasama dengan parti itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai masalah besar.
Pengerusi PPBM negeri, Razali Idris berkata, isu lebih besar yang perlu diberikan perhatian ialah penyatuan orang Melayu melalui kerjasama Umno, PPBM dan PAS.
“Kerajaan Perikatan Nasianal (PN) terbentuk bukan kerana Umno Terengganu, ia terbentuk dengan ketelusan presiden parti di peringkat pusat.
“Jadi penolakan akar umbi dan Umno Terengganu untuk bekerjasama, bagi kita tidak serius. Ia kenyataan segelintir sahaja, penyatuan orang Melayu dan umat Islam lebih utama.
“Buat masa ini saya tidak fikir langsung berhubung kenyataan Umno Terengganu yang menolak kerjasama dengan PPBM.
“Kita masih percaya PN amat diperlukan untuk menghadapai PRU akan datang. Kita tidak mahu Umno, PPBM dan PAS berpecah,” katanya kepada FMT.
Razali berkata, gelombang penolakan akar umbi Umno terhadap kerjasama dengan PPBM lebih bertujuan mencetuskan emosi menjelang perhimpunan agung parti itu (PAU).
“Kalau tengok mana-mana perhimpunan agung, ia bertujuan mencetus emosi ahli. Baru-baru ini timbul banyak isu akar umbi Umno tidak mahu bekerjasama dengan PPBM dalam PRU, sekarang dah senyap, sudah kembali normal,” katanya.
Razali berkata, walaupun partinya berdepan penolakan akar umbi Umno, namun PPBM masih terbuka kepada kerjasama dalam PRU akan datang.
“Kita masih terbuka untuk bekerjasama, dan masih lagi merasai Umno parti besar dan merupakan rakan seperjuangan dalam membela nasib orang Melayu di negara kita.
“Tetapi kita juga bersedia berdepan dengan Umno dalam PRU jika ia memilih untuk keluar dari kerajaan PN.
“Untuk menidakkan PN, saya rasa satu kerugian kepada orang Melayu,”katanya.
Razali berkata, orang Melayu bakal berdepan laluan sukar untuk menguasai kerajaan jika Umno berkeras mahu meninggalkan PN dan berpecah dengan PPBM.
“Sekiranya Umno keluar dari kerajaan sekarang, mereka akan bersendirian dalam PRU. Saya rasa agak sukar bagi orang Melayu untuk menguasai kerajaan.
Awal bulan ini, kesemua lapan bahagian Umno di Terengganu sebulat suara meluluskan usul menolak kerjasama dengan PPBM.
Selain Terengganu, majoriti akar umbi Umno di negeri lain juga menolak kerjasama dengan PPBM, namun mahu kekal bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN).
Dalam PRU lepas, PAS menenangi 22 kerusi DUN dan empat Parlimen di Terengganu, sementara Umno menang 10 DUN dan dua Parlimen sebelum seorang Ahli Parlimennya menyertai PPBM