Peniaga makanan rasa bahang PKP 2.0, pendapatan merosot lebih 50%

 

PETALING JAYA: Peniaga-peniaga restoran dan kedai makan terasa “bahang” perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang diperkenalkan Putrajaya mulai semalam, susulan peningkatan kes Covid-19 yang saban hari mencecah empat angka akhir-akhir ini.

Walaupun masih dibenarkan beroperasi, dengan syarat tidak dibenarkan makan di dalam premis, sebaliknya pelanggan hanya boleh bungkus bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja, ramai peniaga mengeluh panjang kerana kadar jualan harian merosot.

Ahmad Fizie, 30, pengusaha nasi campur di Seksyen 6 Kota Damansara berkata, hasil jualannya merosot sebanyak 60% pada hari pertama PKP. Majoriti pelanggannya adalah kakitangan swasta yang bekerja di kawasan berhampiran.

“Bila PKP, ada di kalangan pelanggan saya yang tempat kerjanya ditutup. Jadi, mereka tidak datang dan kalau mereka yang berkeluarga pula, mereka tidak akan makan lagi di kedai, sebab ketika ini hanya dibenarkan untuk buat pesanan bungkus sahaja.

“Kalau keadaan ini berterusan, tidak ada orang datang beli makanan bungkus, kami terpaksa kurangkan kuantiti lauk untuk dimasak lebih separuh. Saya berharap sangat keadaan Covid-19 cepat pulih, kami tidak sanggup berdepan keadaan tidak menentu macam ini.”

Pelanggan yang ke gerai nasi ayam milik Noor Azie di Seksyen 6 Kota Damansara berkurangan hampir 75% pada hari pertama PKP.

Seorang pengusaha gerai nasi ayam di kawasan sama turut memaklumkan pendapatannya merosot. Bahkan, menurutnya, suasana di sekitar kawasan perniagaannya tidak lagi sama. Jika sebelum ini, ia dipenuhi pelanggan yang beratur untuk membeli makanannya, kini keadaan lengang.

“Memang teruk perniagaan hari ini. Hampir 75% hasil jualan berkurangan. Selalunya pada 12.30 tengah hari, orang sudah beratur, tetapi disebabkan perintah ini, orang tidak lagi datang kerana tidak boleh makan di kedai.

“Pada hari biasa, saya boleh menjual sehingga 60 ekor ayam sehari. Semalam, setakat 3.30 petang, baru 7 ekor ayam yang laku dibeli pelanggan,” kata Noor Azie, 49.

Beliau mempunyai lapan pekerja dan tidak menolak kemungkinan menghentikan beberapa orang. Beliau juga menimbang menutup gerainya sementara sepanjang PKP, sekiranya perniagaannya kurang sambutan.

Penjual nasi ayam kunyit dan kukus, Abullah Hussin, 40, bertindak menutup kedainya dan hanya mengambil tempahan untuk dihantar ke rumah pelanggan.

“Sepanjang PKP, saya tutup terus kedai, kami masak dan ambil tempahan di rumah atau pejabat sahaja, jimat masa dan kos. Saya juga tidak perlu tanggung kerugian kalau makanan tidak habis, sebab kami hanya buat bila ada tempahan,” katanya.

Beberapa pelanggan yang ditemui FMT terpaksa akur dengan arahan Putrajaya, serta menganggap larangan makan di kedai makan membabitkan beberapa negeri perlu dilihat secara positif untuk mengekang penularan Covid-19.

“Kerajaan ada alasan tersendiri larang makan di kedai, sebab sebelum ini bila kerajaan benar, ramai juga yang tidak patuh kepada SOP dan sebab itulah jangkitan naik mendadak sehingga kini,” kata Aminah Othman, 29.

PKP selama 14 hari di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah berkuat kuasa semalam hingga 26 Jan ini.

Berikutan itu, majoriti perniagaan di kawasan PKP dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam. Ini termasuk kedai runcit dan serbaneka, penjaja tepi jalan, medan selera dan restoran. Pelanggan tidak boleh makan di dalam premis, hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu dibenarkan.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker