Pengurus syarikat antara 20 ditahan buang senjata api dalam Sungai Skudai
Polis Kontinjen Johor hari ini mengesahkan penahanan 20 orang suspek termasuk 13 lelaki warga Indonesia dan seorang pengurus syarikat peralatan perkhemahan dalam penemuan sejumlah senjata api dalam Sungai Skudai 1 Januari lalu.
Tiga daripada mereka termasuk suspek pengurus syarikat peralatan perkhemahan akan dituduh di mahkamah manakala 13 suspek Indonesia diberi bon jamin hadir memberi keterangan semasa pendakwaan dilaksanakan.
Ketua Polis Johor Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis juga berjaya menemui tujuh senjata api airloft setakat ini daripada sejumlah 20 senjata yang disyaki dicampak dalam sungai itu bagi tujuan perlupusan.
Katanya, daripada tujuh senjata berkenaan hanya satu merupakan senjata api sebenar iaitu jenis pistol semi auto dan selebihnya enam laras airsoft pelbagai jenis menyerupai senjata sebenar.
Turut ditemui lebih kurang 6,000 butir peluru hidup pelbagai jenis, lima butir anak peluru jenis 1.22 air rifle dan komponen-komponen senjata api airsoft (senapang angin).
Ujarnya, beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971.
“Seperti mana dilaporkan pada 1 Januari lalu mengenai penemuan senjata api, Polis Kontinjen Johor ingin mengesahkan tangkapan dan penemuan itu, yang mana kesemua suspek adalah terdiri daripada lima lelaki warga tempatan, dua lelaki Iban dan 13 lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun hingga 50 tahun.
“Siasatan mendedahkan empat suspek tempatan merupakan pembantu pengurus, dua lelaki iban dan 13 pekerja Indonesia adalah pekerjanya manakala seorang lagi suspek tempatan berusia 39 tahun adalah pengurus syarikat peralatan perkhemahan yang beroperasi berhampiran Sungai Skudai.
“Hasil tangkapan ini, kertas siasatan telah dirujuk oleh kontinjen polis kepadaTimbalan Pendakwaraya Johor dan telah mendapat arahan untuk menuduh seramai tiga orang iaitu pengurus syarikat itu serta dua pekerjanya di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media khas tengahari tadi.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000.
Tambah beliau, 13 suspek lelaki warga Indonesia pula telah diberi bon jamin di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah untuk hadir memberi keterangan di mahkamah.
Katanya, polis turut melakukan serbuan susulan di rumah pengurus syarikat itu dan berjaya menemui selaras senapang tangan buatan Amerika Syarikat dan 582 butiran peluru hidup pelbagai jenis dan lima batang tanda flash.
Katanya, pengurus syrikat berkenaan juga sedang disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(1)A akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda RM10,000 jika disabit kesalahannya.
Ayob Khan memaklumkan penemuan berkenaan adalah rentetan daripada penangkapan seorang pengurus syarikat keselamatan yang telah dituduh sebelum ini di Mahkamah Majistret Johor Bharu dan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada awal Oktober tahun lepas.
Menurut beliau, kes masih dalam perbicaraan mahkamah dan tertuduh juga merupakan anak kepada seorang individu bergelar Datuk, selain penemuan senjata api terbaharu ini adalah saki-baki senjata yang disembunyikan semasa tangkapan Oktober lalu.
“Tidak ada unsur-unsur penyeludupan masuk atau keluar senjata api dari negeri ini dan polis menasihati masyarakat supaya jangan menyimpan atau memiliki senjata api sebenar atau yang tidak dilesenkan kerana tindakan lebih berat akan diambil ikut akta sedia ada.
“Suspek (pengurus syarikat keselamatan) ada memilik lesen menyimpan senjata api dan ikut pemahaman polis apa yang berlaku mungkin memiliki senjata airsoft dan satu sahaja senjata benar dan setelah suspek dicekup, mungkin dapat arahan melupuskan senjata lain yang kemudian dicampak dalam sungai.
“Operasi menyelam polis marin masih diteruskan dan saya difahamkan sebentar tadi ada satu lagi penemuan senjata airsoft (kelapan) dalam Sungai Skudai itu, oleh kerana arus deras mungkin memakan sedikit masa,” ujarnya. MG