Sikap sombong dan tidak berpandangan jauh bantut impian automotif Malaysia
PETALING JAYA: Dasar “sombong” dan “tidak berpandanganjauh”, termasuk skim insentif yang tidak telus melemahkan peluang Malaysia untuk menjadi hab automotif di Asia Tenggara, kata seorang pemerhati industri yang berpengalaman.
Wartawan veteran permotoran Yamin Vong yang banyak menulis mengenai industri ini sejak tahun 1980-an, berkata, Malaysia “ketinggalan kereta api” dalam mengembangkan visinya menjadi hab automotif – visi yang dipupuk pada tahun 1990-an dengan kemunculan Proton.
Dasar Automotif Nasional (NAP) yang digubal pada 2006 sangat eksklusif, katanya.
“Kita menetapkan terlalu banyak syarat. Ketika itu, kita adalah ‘bintang yang bersinar’ di rantau Asean di mata pembuat kereta kerana golongan pertengahan kita yang besar mampu membeli kereta penumpang berbanding trak pikap yang membawa keuntungan lebih rendah.
“Kita boleh mendabik dada (ketika itu) dan ini merosakkan NAP. Kajian semula (NAP) selepas itu juga cacat,” kata Vong kepada FMT.
Komen Vong timbul setelah portal automotif WapCar melaporkan bahawa Hyundai menutup akademi latihan dan ibu pejabat serantaunya di Petaling Jaya untuk berpindah ke Indonesia, yang menawarkan insentif pelaburan lebih baik untuk pembangunan kenderaan elektrik.
Syarikat itu juga dilaporkan melabur RM4 bilion di Indonesia hingga 2030, sementara Toyota akan membelanjakan RM8 bilion antara sekarang hingga 2023 untuk membangun kenderaan hibrid dan elektrik di sana.
Vong berkata, kurangnya ketelusan mengenai insentif di Malaysia adalah salah satu sebab pelabur asing menjauhkan diri.
Dasar Malaysia yang menguntungkan pesaing
Salah satu contoh adalah sifat kerahsiaan insentif khusus bertujuan memenuhi keperluan pembuat kenderaan dan pengeluar alat ganti.
Vong berkata, tidak ada pembuat kereta utama yang bersedia berkongsi rancangan pemasaran sulit mereka dengan agensi kerajaan Malaysia bagi memenuhi syarat mendapat insentif tersebut. Namun, Thailand memberi “menu telus” bagi insentif untuk pelabur.
“Dasar automotif kita benar-benar menguntungkan jiran kita,” katanya, selain menambah bahawa konsep insentif khusus bertentangan dengan sifat pelabur yang menuntut ketelusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Malaysia harus menimbangkan kemungkinan menggunakan kaedah Thai.
Vong berkata, kajian semula insentif boleh menguntungkan jenama kereta utama yang masih ada di Malaysia, seperti kumpulan PSA Peugeot, Geely-Proton dan Kia, untuk meningkatkan skala operasi pasaran serantau.
Geoffrey Williams, seorang ahli ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata, sekalipun dasar perlindungan pada masa lalu yang bertujuan menyokong Proton menjauhkan pelabur dari Malaysia, namun sekarang terdapat lebih banyak faktor penarik untuk melabur di Indonesia.
Menurut Williams, semuanya bergantung pada skala ekonomi dan pekerja mahir.
Masalahnya katanya, adalah sama ada Malaysia dapat menghasilkan sejumlah besar kenderaan untuk dieksport dan adakah negara mempunyai tenaga mahir yang cukup untuk menjaga kualiti pasaran eksport, terutamanya penggunaan teknologi baharu.
Indonesia lebih mahir membuat perjanjian dan lebih terbuka
“Indonesia mengalahkan Malaysia dalam skala dan tenaga kerja mereka yang besar terbuka untuk dilatih dengan kemahiran dalam teknologi baharu sejak awal,” katanya..
Republik itu, tambah Williams, lebih mahir membuat perjanjian dan bersikap lebih terbuka kepada pelaburan antarabangsa berbanding masa lalu, sementara Malaysia mengambil beberapa langkah mundur dalam hal ini kebelakangan ini.
Malaysia katanya juga terlalu fokus pada pelaburan China dan mungkin kurang memberi perhatian kepada Korea Selatan dan Jepun, dua negara yang mempunyai hubungan jangka panjang yang sangat baik dalam perkongsian automotif dengan kerajaan.
“Jepun dan Korea (Selatan) lebih berminat dengan Indonesia sekarang,” kata Williams.
Beliau juga kesal berhubung NAP, terutamanya semakan semula tahun lalu.
NAP 2020 katanya “terlalu optimis” dan mengabaikan kemungkinan perkembangan seperti pengembangan automotif Indonesia.
“Mereka bergantung pada penjualan eksport yang sukar berlaku dalam senario unjuran pasaran semasa. Ia tidak dapat dicapai dengan penjualan domestik semata-mata,” katanya.
Katanya, Malaysia akan terus kehilangan kedudukan disebabkan skala ekonomi dan eksport yang rendah.
“Jika pasaran domestik dilindungi, maka akan ada pasaran tempatan yang stabil sekitar 600,000 unit setahun, tetapi tidak ada pertumbuhan nyata dan tidak ada pertumbuhan eksport.”