Elak pembelian panik, bekalan barang cukup, kata menteri


Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan berkata, bekalan barangan di pasaran ketika ini terkawal.

“Semua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara, akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin buat semua pengguna,” katanya.

Nanta berkata, situasi pembelian panik dilaporkan di beberapa kawasan di negara ini mungkin berlaku, berikutan pengumuman khas yang akan dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin esok mengenai tindakan akan dilaksanakan kerajaan, berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19.



Katanya, situasi itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan bekalan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi dan semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit, masih beroperasi seperti biasa.

Nanta berkata, keadaan ini berbeza ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas, apabila kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di pasaran.

Katanya, kementerian itu sentiasa membuat pemantauan harian terhadap keberadaan barangan keperluan pengguna termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.

“Pemantauan 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039 pemborong terpilih daerah dan 223 pengilang terpilih daerah yang merangkumi 222 kawasan Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri,” katanya. FMT



Belanjawan 2021 apa yang anda dapat?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker