Amaran buat majikan sembunyi status pekerja positif Covid-19 – Menteri Sumber Manusia

MERSING: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan kesal terdapat majikan dikesan menyembunyikan status kesihatan pekerjanya yang positif Covid-19 kerana bimbang tidak dapat menjalankan operasi syarikat sepenuhnya.

Beliau berkata itu amalan atau budaya yang tidak baik terutama dalam situasi negara sedang berperang dengan pandemik berkenaan.

“Saya sudah bagi amaran khususnya kepada syarikat pembuatan dan pembinaan. Ada juga kes positif tetapi (majikan) tidak maklum kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana takut mereka tidak dapat beroperasi.



“Saya minta pihak majikan sekiranya ada kes, sila maklumkan kepada pihak KKM (untuk tindakan selanjutnya),” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Labong di sini hari ini.

Terdahulu, Saravanan menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM120,000 daripada Pembangunan Sumber Manusia Bhd, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran serta Talent Corporation Malaysia kepada 320 mangsa daripada 85 keluarga yang terjejas banjir di daerah Mersing.

Kerajaan akan ambil tindakan ke atas majikan tidak salur subsidi upah – Zafrul



Ditanya mengenai kebimbangan rakyat tentang pekerjaan mereka setelah ura-ura Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal dilaksanakan semula tidak lama lagi, Saravanan berkata kerajaan sedang memikirkan cara terbaik dalam mengekang penularan wabak yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini.

“(Apa-apa sahaja langkah diambil kerajaan) tidak akan berjaya sekiranya tiada sokongan daripada semua pihak. Baru-baru ini pun ada pihak persatuan majikan buat pengumuman dan kata tidak sesuai diadakan PKP.

“Kita lihat ada dua krisis (yang berlaku), yang pertama ekonomi akibat adakan PKP dan kedua krisis kesihatan. Kerajaan sedang buat yang terbaik,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas esok mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak akhir-akhir ini.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker