5 kluster baru di 3 negeri

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengenal pasti sebanyak lima kluster baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikesan di Selangor, Sabah dan Kelantan.

Memperincikan kluster berkenaan, beliau berkata, Kluster Tapak Bina Cyber melibatkan empat daerah di Selangor iaitu Sepang, Petaling, Klang, dan Hulu Langat.

“Kes dalam kluster ini dilaporkan positif pada 31 Dis hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dan sehingga kini 67 kes dikesan positif daripada 140 individu yang disaring,” katanya dalam kenyataan.

Kluster berikutnya, Kluster Texmile melibatkan daerah Gombak di Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini dikesan positif hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan sehingga kini 19 kes positif.”

Kluster ketiga, Kluster Jalan Sibuga pula dilaporkan di Sandakan, Sabah dengan Sembilan kes dikesan positif setakat ini.

Dua kluster lagi dikesan di Kelantan iaitu Kluster Alor Durian melibatkan daerah Tumpat dan Kota Bharu manakala Kluster Wakaf Lanas membabitkan daerah Pasir Puteh.

“Kluster Alor Durian melaporkan 17 kes positif manakala Kluster Wakaf Lanas yang dikesan hasil saringan rentas negeri merekodkan 11 kes positif.”

Setakat hari ini, sebanyak 586 kluster dilaporkan termasuk lima kluster baharu pada hari ini.

Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 332 kluster, termasuk tujuh kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bandar Impian, Kluster Indah Mas, Kluster Kubota, Kluster Batu Tiga, Kluster Rumah Merah, Kluster Sri Jujur, dan Kluster PTS Sibuga.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker