PH arah feri lama P Pinang digantikan, kata menteri pengangkutan
GEORGE TOWN: Penggantian feri Pulau Pinang diarahkan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong yang menolak dakwaan DAP “pembatalan” beberapa projek pengangkutan kerana “balas dendam politik”.
Wee dalam catatan Facebook berkata, keputusan untuk menggantikan feri lama dua tingkat “sebenarnya dimulakan dan diluluskan kerajaan PH ketika itu. Saya hanya meneruskannya kerana merasakan ia sesuatu yang baik dan memanfaatkan rakyat”.
Wee dan Kementerian Pengangkutan membuat kenyataan berasingan susulan dakwaan DAP terdapat alasan politik di sebalik perubahan terhadap projek pengangkutan Pulau Pinang.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, bersama adiknya yang juga senator dari Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata, orang Pulau Pinang menjadi mangsa ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan.
Mereka mendakwa semua projek berkaitan pengangkutan yang memerlukan kelulusan atau dana persekutuan dibatalkan.
Guan Eng berkata, ia bukan kebetulan kerana Kementerian Pengangkutan di bawah Wee, yang juga presiden MCA.
DAP turut melancarkan kempen tanda tangan terhadap projek yang didakwa dibatalkan itu.
Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan berkata, perkhidmatan feri Pulau Pinang tidak pernah dibatalkan, sebaliknya sekadar distrukturkan semula kerana feri lama cenderung rosak dan tidak berdaya maju dalam jangka panjang.
Feri baru dalam bentuk bas air dan pengangkutan kenderaan untuk motosikal akan beroperasi menjelang Julai 2022.
Kementerian itu turut berkata, Hui Ying mencadangkan kepada Dewan Negara pada bulan lalu yang feri lama boleh dijadikan “restoran terapung, muzium atau kapal pelayaran pelancongan”, serta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang turut mencadangkan dua feri dua tingkat terakhir dijadikan muzium atau restoran, sementara menunggu permintaan untuk cadangan (RFP) daripada mana-mana pihak berminat.
Kementerian itu, dan Wee, turut berdepan dakwaan DAP mengenai cadangan projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan laluan LRT dari George Town ke lapangan terbang itu.
Wee berkata, lapangan terbang itu sudah diluluskan kerajaan Barisan Nasional terdahulu dalam Belanjawan 2018.
Kementerian itu berkata, projek perluasan itu tidak dibatalkan seperti didakwa DAP, tetapi ditangguhkan sementara menunggu kajian semula susulan permintaan rendah akibat pandemik Covid-19, dan hal berkaitan pengambilalihan tanah.
Krisis penerbangan menjejaskan kemampuan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad untuk membiayai sebarang perluasan. Kerajaan mempertimbangkan semula semua perluasan lapangan terbang susulan ramalan antarabangsa yang penerbangan awam hanya akan pulih pada 2024.