Ayam Ukraine bongkar kegiatan


Johor Bahru: Penemuan ayam beku dari Ukraine di gudang simpanan sebuah syarikat di Johor membongkar kegiatan empat individu termasuk seorang pengarah syarikat yang dipercayai terbabit dalam isu kartel daging import.

Negara Ukraine bukan negara diiktiraf bagi pengimportan daging ke negara ini berdasarkan senarai dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Semua ayam beku berkenaan dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) dalam satu serbuan baru-baru ini.

Syarikat itu yang didaftarkan di Ulu Tiram di sini, beroperasi sejak 12 Oktober 2014 dan menjalankan perniagaan mengimport dan mengedar produk daging beku.

Rampasan ayam beku itu dilakukan KPDNHEP di gudang mereka di Senai, dekat sini.

Menurut sumber, syarikat berkenaan mempunyai dua pengarah warga tempatan dan seorang daripada pengarah dikatakan sudah melarikan diri dipercayai sejak kes kartel import daging terbongkar.

Pengarah berkenaan yang berusia 42 tahun memiliki saham terbesar dalam syarikat ini.

Sebelum ini media mendedahkan kegiatan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk yang diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ sesetengah kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Kartel didakwa mempunyai ‘orang dalam’ di semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk menyebabkan mereka ‘kebal’ sehingga mampu beroperasi lebih 40 tahun tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Mengikut laporan awam yang diperoleh dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat itu merekodkan perolehan RM100 juta bagi tahun kewangan 2018 selain memiliki aset bernilai RM19 juta. HM

Kartel tukar daging haram jadi halal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker