Anak Tajuddin Hadir Sidang Media Muda Persoal ‘Skandal Tajuddin’

Sidang media parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berhubung kontroversi membabitkan Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman, menerima kejutan apabila anak Tajuddin sendiri, Dr Faizal Tajuddin turut hadir bersama.

Bukan sekadar hadir, malah Faizal menjawab sendiri beberapa pertikaian dibangkitkan Muda dalam sidang media yang diadakan tengah hari tadi.

Sidang media yang diadakan di luar bangunan LRT Dang Wangi, betul-betul berhadapan tapak pembinaan bangunan perdagangan oleh syarikat dikaitkan dengan keluarga Tajuddin, adalah untuk mempersoalkan beberapa hal yang menurut Muda, tak dijawab dengan baik dalam sidang media Tajuddin semalam.

Datang berpakaian dan berpayung hitam di bawah panas terik, antara isu utama yang dibangkitkan Muda, menerusi pengasas bersamanya Amir Abdul Hadi ialah konflik kepentingan mengenai keberadaan Tajuddin dalam mesyuarat yang membincangkan mengenai pembatalan projek berkenaan yang dikatakan mungkin membabitkan pampasan kira-kira RM80 juta.

 

Kata Muda, mereka didatangi “beberapa individu” yang memberikan mereka beberapa dokumen, termasuk minit mesyuarat yang dimaksudkan.

Bahkan, Muda turut berkongsi dokumen berkenaan kepada sesiapa yang mahu membacanya menerusi lawan web www.skandaltajuddin.com yang dibina parti itu sendiri.

Ketika menerima mikrofon dalam sidang media tadi, Faizal mempertikaikan mengapa Muda tidak terus membuat laporan polis sekiranya yakin terdapat salah guna kuasa dalam kontroversi berkenaan.

“Tajuk tu sendiri, skandal Tajuddin sudah berniat jahat,” katanya.

Malah tegasnya, tidak seperti dakwaan Muda, projek berkenaan tidak menggunakan wang kerajaan, sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu sendiri.

 

 

Semalam, Tajuddin berkata projek Latitud 8 di Dang Wangi yang berkaitan dengan keluarganya diberikan sebelum dia menjadi pengerusi Prasarana atau berada dalam kerajaan.

Katanya, projek itu diberikan kepada sebuah firma yang berkaitan dengan keluarganya pada 2012 melalui tender terbuka.

Projek itu dianugerahkan oleh Prasarana kepada Intan Sekitar Sdn Bhd, yang 51 peratus dimiliki oleh Credit Builder Holdings Bhd yang disenaraikan secara terbuka dan 49 peratus dimiliki oleh Detik Utuh Sdn Bhd.

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman

 

Keluarga Tajuddin memiliki pegangan 40 peratus dalam Detik Utuh Sdn Bhd melalui Tindakan Juara Sdn Bhd, memberikan mereka pegangan efektif sebanyak 19.6 peratus dalam projek tersebut.

Syarikat itu menjadi perhatian berikutan laporan bahawa lembaga pengarah Prasarana sedang mempertimbangkan untuk menghentikan projek tersebut dengan membayar pampasan sebanyak RM80 juta kepada Intan Sekitar Sdn Bhd.

MK

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker