Dua beradik kini semakin pulih
Keadaan dua beradik yang selamat menjalani pemindahan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada awal bulan lalu kini dilaporkan semakin stabil.
Nor Shafika Hanis Abd. Hanim, 31, yang menerima buah pinggang daripada adiknya, Nor Ashira Hanum, 30 kini masih dalam tempoh pemantauan di rumahnya di Putrajaya.
NOR SHAFIKA HANIS (kanan) dan adiknya dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan pada Disember lalu
“Setelah tiga minggu menjalani pembedahan, Alhamdulillah kami adik-beradik semakin kuat dan sihat, namun perlu mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya harus membuat pemeriksaan dengan doktor setiap dua hari sekali selama tiga bulan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.
Sepanjang tempoh pembedahan dan pemulihan itu, dua beradik tersebut telah dijaga oleh ahli keluarga termasuk ibu mereka.
Bercerita lanjut mengenai keadaan dirinya, Nor Shafika Hanis berkata, dia kini menghabiskan masa dengan berehat memandangkan doktor tidak membenarkannya membuat sebarang kerja-kerja berat termasuk keluar rumah.
“Atas nasihat doktor, saya juga tidak boleh keluar dari rumah kerana antibodi masih lemah.
“Ia juga bagi mengelakkan saya mudah terkena jangkitan di luar sana,” kata Nor Shafika Hanis.
Menurut gadis itu, dia turut mengekalkan diet makanan yang sihat, namun kini mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum menjalani pembedahan tersebut.
“Saya juga perlu meminum kira-kira 2.5 liter air masak sehari untuk kekal sihat dan memudahkan buah pinggang menjalankan fungsinya,” jelasnya.
Nor Shafika Hanis menambah, doktor memberikannya tiga bulan cuti, manakala adiknya pula diberi cuti selama dua bulan.
Nor Ashira akan kembali ke rumahnya di Cheras selepas tempoh tersebut tamat.
Kosmo! pada 6 Disember lalu melaporkan, kasih seorang adik kepada kakak kandungnya yang menderita penyakit buah pinggang tahap lima dibuktikan apabila dia nekad mendermakan sebelah buah pinggangnya menerusi pembedahan transplan di HKL pada bulan lalu.
Pembedahan itu berlangsung selama lapan jam.
Sebelum itu, kisah penderitaan Nor Shafika Hanis pernah disiarkan Kosmo! pada 21 Julai lalu selepas dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima yang didakwa berpunca daripada tindakannya mengambil tiga jenis pil pelangsing.
Buah pinggang ejen insurans itu dilaporkan tidak lagi berfungsi kerana telah mengecut dan dia hanya boleh minum air tidak melebihi 500 mililiter sehari.