Umno, PAS, Bersatu ibarat 3 beradik inginkan gadis sama’

Apabila Bersatu dan sejumlah ahli Parlimen PKR keluar dari PH dan bersama-sama Umno dan PAS untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN), ia seolah-olah seperti fajar baru untuk sebuah perikatan politik Melayu yang sukar ditumbangkan.

Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, pergeseran demi pergeseran berlaku dan malah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat “diugut” secara terbuka oleh pemimpin Umno.

Bagi penganalisis politik Wong Chin Huat, berbanding menjadi satu “hubungan yang bahagia”, penyatuan Bersatu, Umno dan PAS menjadi tegang ekoran persaingan kuasa.

“Tahun 2020 menunjukkan hakikat bertentangan dengan jangkaan (counter-intuitive) dalam politik yang gagal difahami ramai – kesatuan sukar untuk mereka yang berkongsi cita rasa sama dan lebih mudah di kalangan mereka yang berbeza cita rasa,” kata Wong kepada Malaysiakini.

“Umno, Bersatu dan PAS seperti tiga beradik yang bersaing untuk memikat gadis yang sama (pengundi Melayu konservatif).

“Mereka beritahu gadis itu bahawa ancaman eksistensial buatnya adalah seorang gadis lain (pengundi liberal dan bukan Melayu) dan kekasihnya (PH, terutama DAP).

“Kini, selepas tiga beradik ini berjaya memikat gadis tersebut, mereka berbalah sesama sendiri untuk berebutnya. Ini menjelaskan mengapa kerajaan PN-BN-GPS+ memang berdasarkan Melayu tetapi tanpa kesatuan. Trio ini hanya boleh bersatu jika mereka membahagikan kawasan mereka dan menghormati pembahagian itu, seperti bagaimana Umno dan PBB dalam BN yang dahulu,” katanya.

 

Akar masalah nampaknya pada kekuatan palsu yang dipegang Bersatu. Parti itu sebahagian daripada PH yang menang 121 kerusi Parlimen (jika merangkumi lapan kerusi yang dimenangi Warisan) pada PRU 2018.

Tarikan utamanya adalah Dr Mahathir Mohamad dan dengan adanya bekas perdana menteri dalam parti itu pun, ia hanya menang 13 kerusi.

Bagaimanapun Bersatu sentiasa mendapat banyak jawatan tinggi dalam kerajaan – dalam pentadbiran PH mahupun PN – yang tidak sepadan dengan kekuatannya.

“Umno lebih kuat berbanding Bersatu dan PAS dalam aspek kerusi Parlimen, sokongan popular dan jentera di lapangan. Tetapi hanya 41 peratus ahli Parlimen yang menjadi menteri dan timbalan menteri, iaitu kadar paling rendah.

“Bersatu pula tidak kuat dari segi sokongan akar umbi dan jentera, dan kini memiliki 31 kerusi Parlimen selepas menarik ahli Parlimen dari parti lain – 15 daripada Umno dan 10 daripada PKR.

“Selain jawatan perdana menteri, 77 peratus ahli Parlimen adalah frontbenchers (menteri dan timbalan menteri yang duduk di barisan depan dalam Parlimen).

“PAS pula memiliki jumlah ahli Parlimen paling sedikit tetapi dengan kesetiaan di kalangan pemimpin dan ahli yang paling kuat, dan kadarnya lebih tinggi (berbanding Umno) dengan 44 peratus ahli Parlimennya menjadi frontbenchers.”

 

Menurut Wong, walau apa pun kenyataan yang dibuat ahli politik, situasi antara Umno, Bersatu dan PAS begitu jelas.

“Umno mahukan semula jawatan perdana menteri dan menyerap semula Bersatu – seperti yang terjadi kepada Semangat 46 pada 1996 – dan mengawal PAS.

“Bersatu mahu terus memegang jawatan perdana menteri dan menarik sokongan PAS untuk mengimbangi Umno, seperti bagaimana Bersatu mahu menjauhkan Amanah daripada PKR ketika masih dalam PH.

“PAS, selaku kuasa terkecil, menyokong Bersatu untuk menyekat Umno mengembalikan semula hegemoninya,” kata Wong lagi.

Kemungkinan sabotaj ketika pilihan raya

Walaupun ada desakan agar PN melakukan PRU sebaik selepas PRN Sabah selesai, peningkatan kes Covid-19 telah menghalang rancangan itu.

Sejak itu, ada kemungkinan Muhyiddin akan meneruskan pentadbiran sehingga penggal ini – yang tamat pada 2023 – berbanding membuka risiko untuk partinya kalah teruk dalam pilihan raya.

“Muhyiddin tak akan jadi perdana menteri lagi jika kerusi Bersatu jauh lebih sedikit berbanding Umno.

“Walaupun jika Muhyiddin mendapatkan persetujuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk aturan jawatan perdana menteri, pemimpin Umno lain tidak akan setuju.

“Tentu saja, kerana apa autoriti politik yang dimiliki seorang presiden Umno yang melepaskan jawatan perdana menteri kepada seterunya buat kali kedua terhadap akar umbi yang marah?” soal Wong lagi.

 

Mengambil kira kebencian Umno dan PAS Gombak terhadap Azmin Ali, memang ada kemungkinan calon Bersatu yang menumpang sokongan PKR dan DAP pada PRU lalu untuk disabotaj Umno dan PAS pada PRU akan datang.

“Anda boleh menjangka Umno sabotaj calon Bersatu.

“PAS pula tidak akan begitu membantu bagi Bersatu jika Umno berjanji untuk menyokong PAS di kawasan mereka sendiri, sebagai pertukaran kepada sikapnya untuk berpeluk tubuh.”

Wong berkata lagi, keretakan hampir dapat dilihat dalam penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak oleh Umno.

“Hanya satu perkara menghalang Umno untuk menentang Bersatu: naratif penyatuan Melayu. Ia telah berjaya menghalang Umno Perak daripada membentuk kerajaan minoriti dengan persetujuan keyakinan dan pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA) bersama PH.

“Apa-apa pun, langkah kerajaan negeri pimpinan Umno di Perak, Johor dan Perlis adalah tanda-tanda awal pemulihan hubungan dan PH dan kembali sebagai kelompok tengah seperti sebelumnya, sehinggalah (Umno berubah) pada 2013.”

Tiga beradik ini dijangka akan terus berbalah pada 2021, kata Wong lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker