‘Hidup Kami Tidak Aman…’
Serdang: Enam beranak terpaksa hidup dalam ketakutan sejak dua tahun lalu apabila sering diganggu sekumpulan Ah Long selain diekori dan rumah serta kereta mereka disimbah cat.
Semuanya gara-gara pemilik asal rumah berkenaan di Seri Kembangan di sini, dipercayai menggunakan alamat kediaman terbabit untuk membuat pinjaman Ah Long.
Huda Muhamad, 41, berkata, suaminya membeli rumah teres dua tingkat itu daripada seorang lelaki pada 2018.
Ibu kepada empat anak itu berkata, pada peringkat awal dia tidak berdepan sebarang masalah hinggalah menerima sepucuk surat bertulisan Cina pada penghujung 2018 tetapi mengabaikannya.
“Selepas itu, beberapa Ah Long mula datang ke rumah mencari seorang lelaki yang juga pemilik lama rumah dan saya menjelaskan kediaman berkenaan sudah dijual kepada kami.
“Sehinggalah satu hari ada kereta berhenti depan rumah dan membaling kira-kira 50 helai kertas bertulisan Cina termasuk salinan MyKad pemilik lama.
“Saya bertanya jiran maksud tulisan itu dan diberitahu mereka minta bayar hutang. Saya segera menghubungi nombor tertera pada kertas itu dan jelaskan perkara sebenar serta meminta mereka tidak mengganggu kami lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Huda berkata, ketika mereka sekeluarga berada di kampung di Kelantan pada Mac 2019, jiran memberitahu rumahnya dirantai dan ditampal nota oleh Ah Long menyebabkan dia membuat laporan polis sebelum pulang ke rumahnya.
Bagaimanapun, katanya, ia masih tidak berkesudahan apabila dia sekeluarga berterusan diganggu Ah Long hingga menimbulkan ketakutan dan bimbang keselamatan anak.
“Saya ada bertanya kepada seorang daripada Ah Long yang mencari lelaki itu dan diberitahu pemilik lama menggunakan alamat dan bil elektrik terkini.
“Terkejut saya apabila selepas disemak rupa-rupanya dia (pemilik lama) memalsukan bil elektrik rumah kami untuk membuat pinjaman.
“Selagi lelaki itu hidup, selagi itulah dia akan pinjam Ah Long dan rumah serta bil elektrik kami menjadi cagarannya.
“Hidup kami tidak aman, ketakutan dan keselamatan diri serta harta-benda kami terancam.
“Hidup kami hanya aman seketika saja, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir tahun lalu, Ah Long mula buat hal lagi,” katanya yang sudah dua kali membuat laporan polis pada 2019 dan 2020.
Dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya agar masalah itu dapat diselesaikan segera dan mereka sekeluarga dapat hidup dengan tenteram.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah mengesahkan ada menerima laporan dan polis sudah merakam keterangan mangsa serta pemilik asal rumah terbabit.
Menurutnya, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
You must be logged in to post a comment.