Batal HSR : Najib tak terima duit dari kroni lagi?
1. Najib meroyan apabila projek HSR dibatalkan sebab wang tak masuk dari kroni lagi.
JAWAPAN: Panel pemilihan teknologi, rancangan, perolehan dan syarikat operasi projek HSR masa BN adalah dibuat bersama Singapura dan Malaysia. Singapura pula tanggung sebahagian kos projek.
Adakah Singapura mahu berpakat dengan Najib untuk Najib songlap?
Sebaliknya, bila projek HSR KL-Singapura dibatalkan dan diganti oleh HSR KL-Johor Bahru maka segala pemilihan teknologi, vendor dan kontraktor adalah keputusan kerajaan Malaysia sahaja.
2. Projek HSR KL-Singapura lebih menguntungkan negara Singapura berbanding Malaysia.
JAWAPAN: Kajian demi kajian mengatakan Malaysia menerima manfaat jauh lebih besar berbanding Singapura.
Malah, kajian institut dari negara Jepun yang banyak pengalaman dalam bidang high speed rail melaporkan Malaysia menerima impak positif ekonomi 10 kali ganda lebih besar daripada Singapura.
https://www.straitstimes.com/business/high-speed-rail-may-offer-16b-a-year-in-economic-gain
Mengambil kira jurang nilai matawang, kos sara hidup, kos tanah dan pendapatan purata antara negara Singapura dengan Malaysia, cuba fikir secara logik.
Jika tempoh perjalanan antara negara-negara kita menjadi lebih mudah dan pantas dengan HSR ini, lebih ramai pelancong dari Singapura akan berkunjung di Malaysia dan berkunjung lebih kerap berbanding warga Malaysia yang melancong di Singapura.
Syarikat serta kilang Malaysia tidak akan berpindah operasi ke Singapura tetapi sebaliknya.
Singapura juga tidak menerima apa-apa manfaat apabila mereka di Johor nak berkunjung ke Melaka ke Seremban atau Kuala Lumpur.
Dan warga Malaysia yang pilih untuk kerja di Singapura juga tidak perlu berhijrah ke Singapura lagi dan lalu menjadi warga Singapura sebab dengan HSR mereka boleh terus tinggal di Melaka, di Johor, di Seremban jika mereka masih mahu kerja di Singapura.
Sedikit-sebanyak, ini akan mengurangkan “brain drain” warga kita ke negara Singapura.
Kenapa pula Singapura mahu projek ini jika ianya lebih bermanfaat kepada Malaysia?
Sebab mereka juga mahu menjadi sebahagian daripada rangkaian high speed rail seluruh rantau Asia (HSR dirancang untuk sampai ke Thailand pada masa depan) dan Singapura juga akan rugi jika terabai.
Lagipun, tanah serta tenaga buruh di Singapura sudah terhad dan jika syarikat-syarikat mereka mahu berkembang lagi mereka perlu berkembang ke negara-negara jiran.
Lambat laun seperti kes Hong Kong dengan Shenzen, jurang pendapatan antara negara-negara kita akan semakin rapat.
Singapura juga mahu terlibat dengan visi integrasi ASEAN yang akan menarik lebih banyak pelaburan asing kepada rantau ini.
Jika kita selalu mengalu-alukan pelabur asing daripada Jepun, kenapa pula kita tak mahu pelaburan dari Singapura pula?
3. Projek ini dibatalkan sebab Singapura tak beri kelulusan untuk jajaran HSR melalui KLIA sebab mereka takut lapangan terbang Changi terjejas.
JAWAPAN: Ini adalah alasan sangat mengarut sebab orang Singapura yang berkunjung ke bandar Kuala Lumpur secara terus – bukan nak berkunjung ke KLIA.
Jika warga Singapura nak naik kapal terbang, kan mereka sudah ada airport Changi sendiri? Kenapa pula nak naik HSR ke KLIA untuk penerbangan?
Lagipun stesen terminus Kuala Lumpur di Bandar Malaysia sudahpun dirancang ada stesen perkhidmatan keretapi ERL untuk sambung ke KLIA sebab landasan ERL yang berasal dari KL Sentral sudah melalui berhampiran dengan Bandar Malaysia sebelum sampai ke stesen Bandar Tasik Selatan dan seterusnya ke Putrajaya dan KLIA.
4. Siapa nak melancong masa Covid ini?
JAWAPAN: Kita mulakan pembinaan sekarang tak bermaksud pembinaan akan siap tahun depan.
Rancangan asal masa BN ialah untuk perkhidmatan HSR bermula pada tahun 2026 tapi ditangguhkan gagalkrasi PH ke tahun 2031 sebelum ianya dibatalkan kerajaan PN semalam.
Saya rasa krisis Covid sudah lama berakhir pada tahun 2031. Sebab itu, alasan tiada orang mahu melancong dengan HSR sebab Covid adalah tidak masuk akal.
5. Kenapa nak mulakan projek infrastruktur mega pada masa Covid ini? Negara sudah bankrap dan kita tak mampu biayai projek ini. Lebih baik kita fokus bantuan kepada Rakyat.
JAWAPAN Projek ini dibiayai melalui jaminan kerajaan dan pinjaman jangka panjang yang tidak melibatkan jumlah perbelanjaan bajet 2021 (tapi kos bayar gantirugi sekurang-kurang RM300 juta pula perlu datang dari bajet tahun 2021).
Sebenarnya, krisis Covid inilah masa paling tepat untuk mulakan projek ini untuk rancakkan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan memandangkan kos bahan mentah lebih rendah dan ramai yang sudah tiada kerja.
Lagipun, saya dapat maklumat bahawa pihak tertinggi kerajaan PN sudahpun bersetuju untuk melancarkan projek HSR KL-JB untuk menggantikan KL-Singapura dengan kos hampir sama dan sudahpun pilih teknologi serta menamakan syarikat swasta kroni era Mahathir sebagai kontraktor utama serta syarikat operasi tanpa tender.
Kerajaan PN juga telah merancang untuk membayar pampasan tahunan kepada syarikat operator tersebut setiap tahun memandangkan operasi HSR akan rugi memanjang akibat jumlah penumpang serta pendapatan HSR akan jauh lebih rendah jika tidak sampai ke negara Singapura.
6. Projek ini akan naikkan beban hutang negara dan merugikan negara.
JAWAPAN: Tiada salah untuk kita pinjam jika hasil pinjaman memberi pulangan lebih besar yang mampu membayar balik hutang pada hari kelak.
Negara Singapura bersetuju untuk melabur bersama dalam projek ini dan mereka juga sebahagian daripada syarikat operasi perkhidmatan HSR ini.
Syarikat milik kerajaan mereka bersama syarikat milik kerajaan Malaysia akan melabur bersama dan syarikat operasi perkhidmatan HSR juga adalah milik bersama kerajaan kedua-dua negara. Tiada unsur syarikat swasta atau kroni.
Saya tak lihat negara Singapura akan melabur jika projek ini akan rugi.
Projek HSR ini akan memberi pulangan positif yang amat besar berbanding kos projek.
Impak positif ekonomi kepada negara akan cecah bertrilion-trilion Ringgit dalam tempoh 50 tahun akan datang memandangkan pembangunan sektor pelancongan yang lebih rancak serta pelaburan asing dan peluang pekerjaan dari Singapura serta negara-negara asing lain yang tertarik dengan visi integrasi ASEAN serta perhubungan pengangkutan mudah antara dua ibukota paling penting rantau ini.
Model ini terbukti dengan projek Eurostar dan Chunnel antara Paris dengan London di Eropah.
Saya secara peribadi menghasikkan idea HSR ini bersama PM Singapura sejak tahun 2013.
Negara kita sudah membuat kajian demi kajian tentang baik buruk projek ini dan setiap kali, rumusannya ialah ia memberi manfaat amat besar kepada negara.
Sebab itu saya sakit hati apabila projek ini dibatalkan sebab negara akan hilang manfaat bertrilion-trilion Ringgit serta berjuta-juta peluang perkerjaan pada 50 tahun akan datang dan kita perlu membayar gantirugi RM355 juta (RM310 juta untuk pembatalan dan RM45 juta untuk penangguhan masa PH) secara sia-sia kepada Singapura.
Projek Bandar Malaysia masa BN yang disambung kerajaan PH juga tidak akan mencapai potensi nilai pembangunan RM140 bilion yang akan banyak menguntungkan negara jika projek HSR dibatalkan atau tidak lagi sampai ke sana.
Lebih sakit hati lagi jika kerajaan PN teruskan rancangan mereka untuk menggantikan projek ini dengan HSR KL-Johor Bahru yang langsung tak memberi manfaat pelaburan asing dari integrasi ASEAN serta memerlukan negara membayar pampasan setiap tahun untuk menampung kerugian memanjang syarikat operasi swasta akibat jumlah penampung serta pendapatan tambang yang lebih rendah.
Ini model sebijik dengan projek-projek kroni zaman PM4 di mana kerajaan perlu tanggung pampasan tahunan serta bail-out demi bail-out untuk syarikat pengangkutan swasta.
Najib Razak
Akhbar China: Malaysia akan terjejas teruk kerana batalkan HSR
You must be logged in to post a comment.