Ikatan paksaan dengan PKR bercanggah perlembagaan, kata Zuraida
Perjanjian yang dipaksakan oleh PKR ke atas semua wakil rakyatnya sebelum pilihan raya umum lepas, dan mengikat mereka kepada parti itu, bercanggah dengan Perlembagaan, kata bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin.
Dalam jawapan balasnya kepada saman “lompat parti” sebanyak RM10 juta yang difailkan oleh PKR, beliau berkata, parti itu tidak boleh melaksanakan terma perjanjian itu kerana ia bercanggah dengan hak kebebasan berpersatuan yang dinyatakan Perkara 10 Perlembagaan.
Zuraida mengaku menandatangani ikatan bon itu sebelum 9 Mei 2018, tetapi berkata, ia bukan merupakan syarat wajib mengikut undang-undang pilihan raya.
“Ia sesuatu yang dipaksakan ke atas calon seperti saya secara unilateral.
“Syarat ikatan bon itu tidak adil, bias, dan mengenakan sekatan terhadap kebebasan asasi,” katanya.
PKR, melalui Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail, memfailkan saman terhadap Zuraida yang didakwa melanggar syarat perjanjian.
Parti itu berkata, ia merujuk kepada Seksyen 71 Akta Kontrak sebagai asas bagi menuntut haknya mendapatkan ganti rugi daripada keistimewaan yang dinikmati Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang dan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Zuraida salah seorang daripada 11 Ahli Parlimen PKR yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Feb.
Beliau kemudiannya dipecat parti itu.
Zuraida juga berkata, PKR tidak berhak mendapat apa-apa ganti rugi daripadanya mengikut Akta Kontrak, selain menambah parti itu juga tidak pernah memintanya membayar apa-apa potongan ke atas keistimewaan yang diterimanya sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Ampang pada 2008.
“Jelas bagi saya saman ini bertujuan memalukan saya dan mendapatkan dana untuk PKR,” kata Zuraida.
Beliau berkata, tidak mudah baginya untuk membuat keputusan meninggalkan PKR, yang disertainya apabila ia ditubuhkan pada 1999. FMT