Kartel daging: Syarikat palsukan logo halal diheret ke mahkamah esok

Sebuah syarikat yang didapati terlibat dalam pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram, akan didakwa di mahkamah esok, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Menurut beliau, tindakan itu sekali gus menafikan dakwaan sebelum ini bahawa kerajaan cuba melindungi pihak dan syarikat yang terlibat, dalam perkara yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Bukan kita tidak mahu mendedahkan syarikat yang terlibat, namun masalahnya perkara ini dilakukan oleh sebuah syarikat pengumpul daging, yang kemudiannya menggunakan logo syarikat lain (mangsa) yang terkenal dan mempunyai permintaan tinggi untuk memasarkan produk itu.

“Kalau kita mendedahkan nama syarikat yang jadi mangsa itu, ia akan mencalarkan imej syarikat berkenaan sedangkan itu bukan salah mereka,” katanya pada sesi penggulungan usul kartel daging haram yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin.

Lebih sembilan orang Senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan isu itu, selepas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim membenarkan usul itu dibahaskan mengikut Peraturan 17 (1).

Rosol menjelaskan kerajaan tidak pernah memandang remeh berkenaan isu itu dan telah melakukan beberapa tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

Jelasnya ia termasuk langkah membeku aset syarikat itu yang bernilai RM1 juta, merampas 24 rubber stamp syarikat-syarikat jenama yang mempunyai permintaan tinggi, menyita 5,000 keping pelekat halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan 2,428 kotak daging beku yang dianggar bernilai RM738,640.

Pada masa yang sama, beliau turut menafikan laporan yang mengatakan bahawa aktiviti kartel daging haram itu telah berlaku hampir 40 tahun.

“Tidak benar perkara ini telah berlaku hampir 40 tahun, sebab siasatan kementerian mendapati, syarikat terlibat baharu mendaftar pada 2014 dan memperoleh lesen untuk mengimport produk sejuk beku pada 2017.

“Pada masa yang sama ujian Jabatan Kimia terhadap sampel daging beku yang diambil daripada gudang simpanan itu mengesahkan, ia bukan daging kuda, kangaroo serta babi, dan ini memberikan kelegaan kepada kita,” katanya.

Untuk mengelak perkara yang sama berlaku pada hadapan, Rosol memaklumkan kementerian telah menubuhkan sebuah jawatankuasa perundangan dan penguatkuasa halal, bagi menyelaras tindakan dan isu penguatkuasaan halal dalam negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung isu kartel penyeludupan serta pengedaran daging import diragui status halalnya, hari ini.

Presiden Persatuan Pengimport Daging Halal Muslim Malaysia Datuk Dr Mohd Noor Ali Akbar berkata, beliau bersama NGO lain menggesa kerajaan mengambil tindakan pantas, menjawab keraguan orang ramai berhubung isu berkenaan.

“Bagaimana pengendalian kemasukan daging ini perlu diteliti serta disemak semula, kerana orang ramai perlu mengetahuinya secara jelas. Pekara ini memerlukan penjelasan menyeluruh kerana ia membabitkan kepentingan orang ramai.

“Kami selaku pengimport daging setuju supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan, bagi menyiasat sama ada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sudah memadai atau perlu ditambah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Sementara itu, Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia Abdul Rani Kulup menggesa pelbagai pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa lain bekerjasama memastikan kilang dipercayai berlindung di sebalik kegiatan penyeludupan serta pengedaran daging import diragui statusnya itu, ditutup.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor. Bernama

Kartel tukar daging haram jadi halal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker