‘Guna semua aset kerajaan angkut pesakit Covid-19 ke hospital’
Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menggesa kerajaan menggunakan pengangkutan awam untuk membawa pesakit Covid-19 ke hospital, berbanding membiarkan mereka menjalani kuarantin di rumah.
Rajiv berkata, Malaysia boleh mencontohi Singapura yang menambah baik bas untuk mengangkut pesakit wabak itu, atau Perancis yang menyediakan keretapi khas setelah bahagian timur negara itu mengalami peningkatan kes.
Menurutnya, kerajaan perlu menggunakan semua kemudahan dan peralatan yang ada dalam melawan Covid-19.
“Kerajaan patut menggunakan aset yang ada, termasuk bas dan van kerajaan yang tidak digunakan, dan melibatkan tentera jika perlu,” kata adun DAP itu dalam kenyataan.
Katanya lagi, Kementerian Kesihatan tidak harus hanya bergantung kepada ambulans dan banyak kenderaan milik kerajaan tidak digunakan susulan kawalan pergerakan.
“Kita ada sumber, ini masanya untuk menggunakannya secara maksimum,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit Covid-19 tidak bergejala perlu menjalani kuarantin kendiri selama beberapa hari sebelum dibawa ke hospital.
Katanya, katil di hospital masih mencukupi – dengan kemampuan untuk hospital di Selangor pada kadar 59 peratus – tetapi berlaku kelewatan untuk memindahkan pesakit dari rumah ke hospital akibat lonjakan kes, selain masa yang diperlukan untuk mengatur keperluan logistik.
Mengulas perkembangan itu, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly AHmad berkata pendekatan kuarantin kendiri itu merupakan tanda amaran bahawa lengkungan jangkitan telah melepasi keupayaan sistem kesihatan.
Rajiv berkata ramai pesakit yang tidak memiliki bilik tidur sendiri dan berkongsi dengan orang lain, menyebabkan mereka tidak boleh menjalani kuarantin.
“Ramai pekerja asing berkongsi rumah yang sesak dan mereka akan terdedah dengan virus lebih lama jika penularan berlaku. Mereka yang tinggal di rumah kos rendah juga sukar untuk kuarantin.
“Kadar penularan paling tinggi antara tiga hari sebelum pesakit menunjukkan gejala dan tujuh hari selepas gejala. Penangguhan sedikit saja mampu mencetuskan kluster baru,” katanya.
Katanya, tidak mustahil juga mereka yang perlu menjalani kuarantin akan melanggar arahan tersebut.
You must be logged in to post a comment.