UiTM meterai MoU dengan tiga syarikat, buka peluang untuk pelajar berniaga

Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat bertaraf global dan tempatan bagi membuka peluang kepada pelajarnya menerokai bidang keusahawanan.

Tiga syarikat berkenaan ialah Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd (Shopee Mobile Malaysia), Xinn Global Sdn Bhd (Xinn Global) dan Simply SS Trading (Simply SS Trading) Sdn Bhd.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim manakala Shopee Mobile Malaysia diwakili Ketua Shopee Mall Kenneth Soh, Simply SS Trading oleh presidennya Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Zohriyyah Mokhtar, wakil Bahagian Pembangunan Perniagaan Xinn Global dengan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Syed Zainal Abidin berkata MoU itu merupakan kesinambungan Pelan Strategik UiTM 2025 bagi membuka peluang kepada pelajar menceburi bidang keusahawanan memandangkan situasi semasa pandemik COVID-19 dilihat agak menyukarkan mereka mendapat pekerjaan.

“Disebabkan UiTM bimbang bakal graduan kami sukar mendapat pekerjaan ekoran impak COVID-19, maka kami wujudkan inisiatif ini bagi memastikan mereka boleh berdikari dengan menjadi usahawan.

“Dengan usaha ini, kita harap kepakaran yang ada pada ketiga-tiga syarikat dapat membantu, mendidik, melatih dan memberi peluang kepada pelajar UiTM menjadi usahawan sama ada secara dalam talian atau kiosk,” katanya pada sidang media selepas majlis itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin berkata bagi kerjasama dengan Simply SS Trading yang terkenal dengan produk kecantikan, tiga cawangan UiTM iaitu di Machang, Kelantan; Dungun, Terengganu dan Jengka, Pahang akan menjadi projek rintis untuk pelaksanaan inisiatif perniagaan secara ‘drop ship’ atau pesan hantar itu.

Beliau berkata bagi usaha sama dengan Shopee Mobile Malaysia, UiTM akan memanfaatkan kepakaran syarikat itu untuk mewujudkan satu platform perniagaan secara dalam talian iaitu ‘UiTM Marketplace’ bagi memberi peluang kepada pelajar memasarkan produk termasuk keluaran mereka sendiri.

Menyentuh kerjasama dengan Xinn Global pula, Syed Zainal Abidin berkata syarikat pengeluar makanan jenis ‘dim sum’ itu akan menawarkan kiosk perniagaan kepada enam pelajar UiTM yang terpilih di Lembah Klang sebagai permulaan.

“Jika perniagaan mereka menampakkan hasil, kita akan tambah penglibatan pelajar untuk berniaga ‘dim sum’ secara kiosk termasuk di kampus cawangan UiTM di seluruh negara. Mana-mana pelajar yang berminat untuk menjadi usahawan, mereka akan dilatih oleh Akademi Pembangunan PKS dan Usahawan UiTM,” katanya.

Pada masa sama, Siti Nurhaliza juga mengalu-alukan pelajar UiTM untuk meneroka bidang keusahawanan dan untuk menjadi ejen pesan hantar barangan Simply Siti, mereka tidak memerlukan modal sebaliknya hanya ilmu bagi memperoleh pendapatan.

“Bagi pelajar UiTM yang berminat, kita akan berikan latihan dan khidmat nasihat secara dalam talian serta bahan-bahan untuk mempromosi barangan (Simply Siti).

“Apa yang pelajar perlu ingat, untuk menjadi usahawan berjaya, perkara paling penting adalah kesungguhan dan sikap mahu berusaha.

“Saya pilih tiga kampus di pantai timur sebab kita tahu orang pantai timur minat berniaga, maka kita mulakan di lokasi itu dahulu dan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan, kita buka ke seluruh negara pula,” katanya yang menyasarkan 600 pelajar UiTM akan menjadi ejen pesan hantar syarikatnya menerusi projek rintis. BERNAMA

Umno tidak akan sertai PN secara rasmi, hanya MOU

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker