Diva AA..Azwan Ali Berdamai Dengan Takdir

BERDAMAI dengan takdir. Barangkali itu satu ungkapan yang mudah untuk diucapkan di bibir, namun untuk merealisasikannya dalam kehidupan nyata memerlukan banyak komitmen dan pengorbanan.

Anak seni yang seorang ini memiliki pengalaman yang cukup luas dalam gelanggang hiburan tempatan terutama pengacaraan. Mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan sedari 1988, tolak tambah sudah 32 tahun dia bergelumang dalam bidang yang sarat sepak terajang yang mematangkan.

Azwan Ali. Sepotong nama yang cukup digeruni. Digeruni pada masa sekarang kerana mulutnya yang lantang dan celupar berkata-kata dengan liuk-lentok tubuh yang tersendiri. Walhal, suatu ketika dahulu, dia seorang pengacara yang amat dihormati penuh dengan integriti dan profesionalisme tinggi.

Tahun 2020 seperti memberi nafas baharu buat pemilik nama sebenar Mohamed Azwan Ali.

Hampir 10 tahun hidup jauh dari dunia televisyen dan menjadi hiburan dunia maya dek gelagat yang adakala dianggap aneh bagi sesetengah pihak, Azwan kembali sebagai pengacara program realiti, Lagu Cinta Kita 2.

Berbalik kepada apa yang dinukilkan pada perenggan pertama, Azwan tidak menafikan, pada usia 54 tahun, dia lebih relaks, berhati-hati dalam bertindak dan paling penting, reda dengan takdir hidup yang telah disusun oleh Allah SWT.

Masakan tidak, dalam hidupnya, dia berdepan dengan pelbagai perkara yang melunturkan motivasi antara berkaitan kepincangan keluarga, cinta bertepuk sebelah tangan, kerjaya seni hampir berkubur dan banyak perihal lain yang dia yang lebih fasih dan mengerti tentangnya.

AZWAN berkata, kilauan glamor dan dalam bidang seni hanya bersifat sementara. Justeru, dia menasihatkan anak seni generasi baharu agar tidak terlalu hanyut dengan arus populariti yang akan bergerak perlahan apabila tiba waktunya. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

“Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya. Keluarga tunggang-langgang dan berat untuk saya kongsi tentang hal itu. Macam-macam perkara berlaku lebih tiga dekad saya menjadi anak seni.

“Pada usia sekarang, saya lebih berhati-hati dalam melantunkan bicara. Mulut saya tetap ‘puaka’ namun lambat-laun orang akan sedar, apa yang saya kritik itu ada kebenarannya.

“Saya sudah terima bermacam-macam cercaan dan perlian. Saya sudah masak dengan semua itu. Tapi saya tidak terduduk, saya bangkit dan terus bangkit walaupun orang tak suka. Bidang glamor ini hanya sementara. Saya sudah laluinya,” ungkap Azwan yang memperoleh ijazah dalam bidang undang-undang daripada Universiti Malaya pada tahun 1989.

AZWAN melihat tahun 2020 sebagai kelahiran semula dalam bidang seni tanah air. Bagaimanapun, perkara tersebut tidak menutup mulut lancangnya yang gemar mengkritik apa sahaja perkara yang terlintas depan mata kepalanya. SOLEKAN – EL MANDA ZUHAIRY (@ELMANDAZUHAIRY)

Berdamai dengan Azmin

Melanjutkan perbualan, terpacul perumpamaan dari bibir yang dipersetujui Azwan akan kebenarannya. Air yang dicincang tidak akan putus. Katanya, dia sudah memaafkan semua orang andai berlaku khilaf secara sedar atau tidak sedar. Termasuk adik-beradiknya.

“Saya sudah maafkan tapi saya takkan pernah lupa apa yang mereka buat. Bak kata mat salih, ‘forgive but will never forget’. Apa yang mereka buat kepada saya biarlah saya dan Allah sahaja yang tahu.

“Saya boleh berbaik tetapi hanya dengan Azmin Ali, tidak dengan adik-beradik yang lain. Kalau ada peluang berdamai, saya okey andai perkara itu terjadi,” katanya kedengaran sedikit sebak.

Ujar Azwan, kalau diberi peluang bertemu empat mata dengan Datuk Seri Azmin Ali yang kini berjawatan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dia sedia menghulurkan tangan terlebih dahulu untuk berdamai.

“Kalau benda itu berlaku, saya sendiri yang akan hulurkan tangan untuk minta maaf sebab dia abang, saya adik.

“Ada beberapa perkara yang saya berkecil hati dengan beliau tapi saya tak ingin dedahkan. Macam saya cakap, saya sedia bermaaf-maafan dengannya.

“Dengan Azmin ceritanya berbeza dengan adik-beradik lain. Seperti yang saya katakan, adik-beradik lain hanya Allah yang tahu dosa-dosa mereka kepada saya. Jangan datang dekat kepada saya.

Arwah mak tahu, Allah tahu,” tuturnya yang tidak kisah menjalani hidup seorang diri atau bahasa mudah, sebatang kara.

AZWANmenyerahkan soal kepada Yang Maha Kuasa. Katanya, kalau diberi pilihan, dia tidak mahu berkahwin dengan wanita yang berstatus janda. Namun akurnya, ajal, maut dan pertemuan itu rahsia Tuhan. – TATARIAS – DEAN ISHAK (@DEAN.ISHAK)

‘Saya tak sewel’

Di mata masyarakat, ada sesetengah orang berpendapat Azwan seorang yang kurang waras kerana acap kali membuta tuli mengherdik orang tanpa sebab yang munasabah.

Ditebak pertanyaan tentang perihal itu, Azwan menjawab: “Orang mudah menghakimi saya hanya kerana apa yang saya sering paparkan di depan kamera atau di sosial media. Mereka tak kenal siapa saya sebenarnya.

“Mereka lupa yang patutnya menghakimi hanya Allah SWT. Itu tugas Dia bukan kita. Orang cakap saya sewel atau kurang waras, saya hanya boleh cakap Alhamdulillah.

“Dari bibir saya pada waktu sekarang, saya mencuba yang terbaik untuk jadi orang yang lebih baik daripada yang sebelum ini. Lagipun, bukan baru sekarang orang cakap saya sewel. Sudah lama orang cakap, lantak mereka.

“Hidup ini jangan sesekali rasa kita ‘atas Tuhan’. Saya akan tetap mengkritik sebab itu memang saya. Semua orang saya kritik, orang politik, artis-artis papan atas macam Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Neelofa pun, namun mereka tak melenting.

“Yang melenting peminat-peminat mereka sebab mereka tak dapat terima kritikan saya. Mereka tak dapat kesan kebenaran yang cuba saya sampaikan. Cara saya mungkin kasar, namun itu sahaja ubatnya untuk masyarakat kita yang jenis susah nak makan saman,” getusnya bersungguh.

AZWAN terkenal kerana kecekapan dan kebijaksanaannya dalam mengendali program berunsur hiburan. Pada tahun 1994, dia meraih penghargaan sebagai Personaliti TV Terbaik pada Anugerah Skrin yang pertama. BUSANA – ZARA OFFICIAL

Belum tertutup hati kahwin

Berganjak ke perkara yang masih berbekas dalam diari hidupnya, Azwan membuahkan dua tiga pandangan tentang hubungannya dengan penyanyi, Ziana Zain.

Ujarnya, dia sudah boleh menerima hakikat Ziana bukan jodohnya biarpun cinta yang bertepuk sebelah tangan itu masih diperkatakan sehingga kini.

“Dia seorang sahabat yang baik dan saya amat menghormatinya. Tetapi saya tidak boleh menafikan bahawa Ziana punca mengapa hati saya tertutup buat semua perempuan sehingga hari ini.

“Itu saya tidak boleh bohong. Saya jadi macam ini sekarang sebab tidak dapat terima hakikat yang dia tolak cinta saya. Dia tak salah, saya yang salah,” katanya.

Ditanya sama ada hatinya sudah tertutup terus untuk wanita jawab Azwan: “Saya boleh kahwin tetapi saya takkan terima bekas orang. Saya percaya dengan rencana Allah. Kalau ada jodoh, ada.

“Kalau tiada pun, saya okey hidup bersendirian sebatang kara sampai bertemu ajal. Saya bukan seorang manusia yang suka buat pusingan-U. Dah berlalu, biarlah berlalu.

“Kalau Datuk K dan Datuk Jamal Abdillah boleh, mengapa saya tidak boleh? Saya percaya dengan ketentuan Allah. Berulang kali saya ungkapkan frasa ini tetapi saya bukan ustaz (tertawa),” ujarnya seraya berseloroh.

Azwan berkata, tiada sekelumit pun rasa sunyi atau sepi walaupun hidup bersendirian. Dia mempunyai empat ekor kucing yang masing-masing diberi nama Rosmah, Che Ta, Aaron Aziz dan Ziana Zain.

“Lagi senang hidup dengan kucing. Saya bercakap dengan mereka, mereka dengar dan tak banyak perangai. Berak pun boleh selesaikan sendiri,” katanya menamatkan perbualan.

‘Dulu hari-hari orang kecam, sekarang tidak lagi’ – Azwan Ali

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker