Staf hospital diberi amaran tindakan disiplin jika dijangkit kerana ingkar SOP

Hospital Sungai Buloh didakwa memberikan amaran tindakan disiplin buat kakitangannya yang positif Covid-19 sekiranya mereka dijangkiti gara-gara tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ini selepas hospital utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk Covid-19 itu, mencatatkan lonjakan kes di kalangan kakitangan mereka baru-baru ini.

Menurut beberapa sumber di dalam sektor kesihatan, termasuk di Hospital Sungai Buloh sendiri, amaran itu dikeluarkan oleh pengarah hospital Dr Kuldip Kaur Prem Singh.



Difahamkan, kakitangan dimaklumkan mereka boleh dikenakan tindakan disiplin sekiranya mereka didapati positif Covid-19.

Bagaimanapun, seorang sumber lain menjelaskan tindakan itu hanya akan dikenakan sekiranya kakitangan positif itu didapati ingkar SOP seperti tidak memakai pelitup muka semasa bertugas.

Sumber ketiga juga menyokong kenyataan ini kepada Malaysiakini, berkata amaran itu dikeluarkan selepas beberapa langkah telah terlebih dahulu diambil bagi memberi peringatan kepada kakitangan mengenainya.

Antara langkah yang dimaksudkan ialah menggerakkan satu pasukan pemantau di sekeliling hospital bagi memantau pematuhan SOP dan menasihati petugas yang didapati alpa.



“Tetapi kita bercakap tentang manusia. Ada yang patuh apabila diperhatikan… Mereka pakai pelitup muka apabila disuruh, tapi bila tak dilihat, mereka buat lagi (langgar SOP),” kata kakitangan perubatan itu.

Setakat Isnin, KKM mengesahkan seramai 80 kakitangan kesihatan Hospital Sungai Buloh disahkan positif. Malaysiakini difahamkan bilangan itu kini telah meningkat.

KKM tidak mengemukakan perincian lanjut mengenai penularan di hospital Covid-19 utama negara itu, tetapi Malaysiakini difahamkan antara yang dijangkiti termasuklah pakar dan jururawat unit rawatan rapi.

Menurut seorang sumber, ini menyebabkan ICU tidak cukup pekerja, memandangkan kakitangan yang merupakan kontak rapat perlu menjalani kuarantin.



Sebanyak 620 katil di Hospital Sungai Buloh semuanya digunakan hanya untuk merawat pesakit Covid-19.

Penularan di kalangan kakitangan kesihatan itu hadir selepas hospital itu berdepan lonjakan kemasukan pesakit setiap hari, dengan Lembah Klang terus mencatatkan rekod tertinggi bilangan tertinggi kes positif Covid-19.

Malaysiakini difahamkan katil semakin penuh pada kadar yang pantas. Ini termasuklah unit rawatan rapi, yang menurut sumber, memuatkan sehingga kapasiti maksimum 60 katil.

 



Kena tegas, amaran nak takutkan

Sementara itu, seorang kakitangan pengurusan Hospital Sungai Buloh yang enggan dinamakan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Kuldip ada mengeluarkan amaran mengenai isu pematuhan SOP kepada kakitangan hospital.

Bagaimanapun, menurutnya, tujuan amaran itu lebih kepada ‘menakut-nakutkan’ mereka yang ingkar supaya mematuhi peraturan.

“Soal SOP ini, kita kena tegas, (memandangkan) ini hospital Covid-19 sepenuhnya yang paling utama.



“Ini untuk kepentingan dan kesejahteraan kakitangan juga, selain keluarga dan komuniti mereka,” jelasnya.

Ditanya apakah tindakan menanti mereka yang didapati ingkar SOP meskipun setelah diberikan amaran, kata pegawai itu, mereka akan diberikan surat tunjuk sebab.

“Harap-harapnya, apabila mereka menulis alasan mengapa tidak mematuhi SOP itu, mereka akan sedar bahawa kita sebenarnya masih dalam peperangan (menentang Covid-19).”

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata peringatan seumpama itu perlu bagi mencegah jangkitan di kalangan kakitangan kesihatan



Bagaimanapun, katanya, petugas barisan hadapan tidak akan dihukum kerana positif Covid-19.

“Tak betul. Kakitangan diberi peringatan supaya tidak mengabaikan SOP kerana virus ini ada di mana-mana.

“Ini untuk melindungi diri mereka dan mencegah jangkitan sesama kakitangan seperti yang dapat dilihat dalam banyak keadaan,” jawab Noor Hisham dalam satu teks pesanan.

Hopsital Sungai Buloh bukanlah satu-satunya hospital KKM yang berdepan jangkitan di kalangan kakitangannya.

Setakat 15 Dis, seramai 1,880 petugas kesihatan KKM dijangkiti Covid-19.

Minggu lalu, Noor Hisham berkata Covid-19 dikesan di kalangan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, dan Hospital Selayang.

Pada 18 Dis, dia berkata seramai 280 petugas kesihatan sedang dirawat untuk Covid-19, manakala seramai 1,697 lagi diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

HTAR paling teruk diserang Covid-19 dengan lebih 120 kes setakat 21 Dis, manakala Hospital Serdang mencatatkan lebih 50 kes, semuanya berkaitan kluster Lestari yang melibatkan penghuni rumah penjagaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker