Topi Krismas, Bible dan Rasulullah
Oleh Dr. Ahmad Sanusi Azmi
1. Islam adalah agama yang berpegang kepada prinsip toleransi yang sangat tinggi. Namun dalam perihal akidah, Rasulullah ﷺ dilihat sangat sensitif dalam beberapa perkara. Ini bagi memastikan muslim mempunyai pendirian yang tegas dalam isu berhubung akidah.
2. Menurut Saidatina Aisyah, Rasulullah ﷺ sangat sensitif dengan lambang salib. Perkara ini diriwayatkan oleh al-Bukhari yang menyebutkan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ tidak akan meninggalkan sesuatu yang mempunyai lambang salib di dalam rumahnya melainkan Baginda akan mengubah lambang tersebut. (HR al-Bukhari).
2. Menurut al-Imam Ibn Hajar, hadith ini memggambarkan betapa Rasulullah ﷺ tidak redha terhadap syiar kekufuran. Bahkan syiar ini adalah satu penipuan ke atas Nabi Isa kerana di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Nabi Isa tidak pernah disalib. Firman Allah:
وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَٰكِن شُبِّهَ لَهُمْ
“Dan mereka berkata: Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa bin Maryam (iaitu seorang) Rasulullah. Padahal mereka tidak membunuh beliau bahkan mereka tidak juga menyalibnya akan tetapi mereka telah dikelirukan.” (Surah al-Nisa’: 157).
3. Reaksi yang sama turut dilakukan oleh Saidatina Aisyah. Saidatina Aisyah pernah meminta seorang wanita supaya meninggalkan kain yang mempunyai lambing salib. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam Ahmad yang menyebutkan:
كُنَّا نَطُوفُ بِالْبَيْتِ مَعَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، فَرَأَتْ عَلَى امْرَأَةٍ بُرْدًا فِيهِ تَصْلِيبٌ، فَقَالَتْ أُمُّ الْمُؤْمِنِينَ: ” اطْرَحِيهِ اطْرَحِيهِ، فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى نَحْوَ هَذَا قَضَبَهُ
“Kami pernah menunaikan tawaf bersama dengan Ummul Mukminin Aisyah. Apabila beliau terlihat kain yang terdapat lambang salib pada seorang wanita, Aisyah lantas berkata: Tinggalkan kain ini, tanggalkannya. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ sekiranya Baginda melihat lambang salib, maka Baginda akan mencabutnya.
4. Begitu sensitif Rasulullah dan Saidatina Aisyah dengan lambang salib. Lambang ini telah menjadi syiar kekufuran bahkan syiar penipuan ke atas Nabi Isa. Begitulah perihalnya kita pada hari ini. Seorang muslim seharusnya bersikap berhati-hati dalam isu yang memberikan gambaran yang salah tentang perkara akidah.
5. Begitu juga dengan sikap Rasulullah terhadap Bible atau kitab terdahulu. Suatu hari Saidina Umar membawa helaian kitab terdahulu (dari Taurat atau Bible) yang beliau terimanya dari ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani). Lalu Umar membacanya di hadapan Rasulullah. Tindakan Umar itu mengundang sensitiviti Rasulullah sehingga menyebabkan Baginda marah lalu menegur Umar:
“أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي”
“Apakah engkau terpesona dengannya wahai (Umar) Ibn al-Khattab? Dan demi jiwaku yang berada ditanganNya, sesungguhnya sekiranya Musa masih hidup, maka dia akan mengikuti aku.” (HR Ahmad, al-Nasa’i).
6. Perhatikan dalam hadis ini bagaimana Rasulullah menegur Saidina Umar. Apakah iman Umar terlalu lemah sehingga membaca Bible atau Taurat pun dilarang oleh Rasulullah? Apakah iman para sahabat begitu lemah sehingga tidak berupaya melihat lambang salib? Sudah tentu tidak!
7. Tetapi Baginda meletakkan satu garis sempadan yang jelas, bahawa dalam isu akidah seorang muslim hendaklah berhati-hati daripada sikap seakan menerima atau redha dengan akidah yang salah. Atau larangan ini bagi mengelak kita dari mempromosikan imej yang salah mengenai Nabi Isa yang dimuliakan tinggi di dalam al-Quran.
Semoga Allah membimbing kita.
Arab Saudi sudah mula menjual pokok krismas