Dron kesan 55 pencerobohan sempadan negara sejak Jun, kata Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Teknologi dron berjaya mengesan 55 pencerobohan sempadan negara sejak ia digunakan dalam Op Benteng pada Jun, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pengesanan tersebut juga membawa kepada tangkapan bagi kes pencerobohan negara yang membuktikan keberkesanan penggunaan teknologi pesawat tanpa pemandu itu.

“Penggunaan teknologi dron adalah sangat penting kerana negara perlu menjaga sempadan yang luas, contohnya di kawasan perairan Sabah.

“Sebab itu kita menggunakan teknologi dron di kawasan sempadan Malaysia, termasuk di kawasan darat,” katanya pada sidang media harian perkembangan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Ismail juga berkata, kerajaan memperoleh beberapa aset, termasuk motosikal jenis “scrambler”, ATV (kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan muka bumi), radar dan dron untuk digunakan ketika Op Benteng, terutama di utara tanah air.

Beliau berkata, perolehan itu dibuat menerusi peruntukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara.

“Kerajaan akan terus mempertingkatkan aset bagi mengawal sempadan negara,” katanya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Affendi Buang sebelum ini berkata, operasi pemantauan dan kawalan di sempadan negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan melalui penggunaan aset dron secara lebih meluas.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker