Tindakan keras terhadap majikan jika pekerja asing tak jalani ujian COVID-19
PETALING JAYA: Tindakan keras akan diambil terhadap majikan jika pekerja asing mereka tidak menjalani saringan COVID-19 bermula 1 Januari kerana terdapat majikan gagal patuhi arahan kerajaan itu.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan akan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit terhadap majikan yang gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan 1 Dis, yang mewajibkan pekerja asing di semua sektor menjalani ujian COVID-19.
“Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia mengesahkan 49,248 pekerja asing jalani ujian Covid-19, melibatkan 1,990 majikan. Bagaimanapun kementerian memaklumkan masih terdapat ramai majikan yang enggan memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan ini
“Disebabkan ada yang tidak setuju, kita terpaksa ambil tindakan keras,” katanya pada sidang media.
Ismail berkata, sidang khas mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mewajibkan majikan menanggung semua kos rawatan dan kuarantin bagi pekerja asing yang positif dan dipindahkan ke pusat rawatan.
“Kalau sakit biasa mereka boleh bayar, mereka juga perlu bayar kos melibatkan rawatan COVID-19. Kegagalan mereka untuk menyegerakan pekerja untuk buat saringan, mungkin akan menyebabkan mereka rugi lebih besar,” katanya.
Sementara itu, sehingga kini 12 syarikat dan 27 pertuduhan dikenakan ke atas majikan yang ingkar arahan menyediakan kediaman kondusif kepada pekerja mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja.
Tindakan tegas ini akan diteruskan, bukan sahaja mengenai kes yang gagal hantar pekerja asing untuk saring, tetapi juga gagal sediakan perumahan kondusif,” katanya.
You must be logged in to post a comment.