COVID-19: Korea Selatan catat lebih 1,000 kes baharu
SEOUL: Korea Selatan mencatatkan sedikit penurunan kes harian baharu dengan 1,092 kes positif COVID-19 pada Rabu, menurut data oleh Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.
Peningkatan kes baru-baru ini di republik itu menggagalkan usaha pakar epidemiologi membendung penularan pandemik itu dan menarik semula kepercayaan rakyat terhadap kebolehan kerajaan mengatasi penularan tersebut.
Berdasarkan data kes harian, 1,060 adalah kes domestik manakala 32 lagi adalah kes import yang menjadikan jumlah kumulatif di negara itu adalah 52,550.
Dalam tempoh 24 jam lalu, 17 kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan adalah 739 kes.
Setakat ini, 284 daripada 15,085 kes aktif dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Sebelum ini, Korea Selatan mencatatkan kejayaan dalam menangani penularan COVID-19 dengan petugas perubatan berjaya mengekang penularan terutamanya pada musim bunga.
Namun, susulan kelonggaran sekatan menyaksikan peningkatan kes setakat ini.
Sejak beberapa minggu lalu, pihak berkuasa melaksanakan semula beberapa sekatan termasuk mengehadkan jumlah orang awam dalam perhimpunan sosial bagi musim perayaan akan datang.