Rayuan Umno tuntut semula RM116.7j disita dalam kes 1MDB didengar 6 Jan

Share

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Jan tahun depan sebagai tarikh pendengaran rayuan Umno bagi menuntut RM116.7 wang yang disita oleh pihak berkuasa semasa penyiasatan kes 1MDB.

Bagaimanapun, pasukan peguam yang mewakili responden sedang meminta tarikh pendengaran baru memandangkan salah seorang daripada mereka perlu menghadiri perbicaraan kes mahkamah lain di Kota Kinabalu, Sabah, pada hari sama.

Responden-responden dalam kes itu ialah timbalan pengarah (risikan/operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Mohd Sakri Arifin; penolong pesuruhjaya polis JSJK, R Rajagopal; Amar Singh Ishar Singh yang ketika itu merupakan pengarah JSJK Bukit Aman; ketua polis negara (IGP) dan kerajaan.

Peguam pihak pengadu (Umno), Hariharan Tara Singh mengesahkan hasil itu semasa pengurusan kes e-review (dalam talian) di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan KB Elena Wong di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Katanya, pasukan peguam responden meminta penangguhan ke satu tarikh lain supaya peguam persekutuan kanan daripada pasukan mereka dapat menghadiri pendengaran kes di Kota Kinabalu pada tarikh sama.

“Tarikh pendengaran pada 6 Jan 2021 dikekalkan oleh mahkamah memandangkan panel belum membuat keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan penangguhan oleh responden (atau pun tidak),” kata Hariharan kepada Malaysiakini.

Peguam persekutuan kanan Iznan Ishak mewakili responden dalam pengurusan kes hari ini.

Pada 21 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan sama oleh Umno berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti berkenaan yang disita polis di sebuah premis di Pavilion Residences, semasa satu serbuan pada 2018.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad, membenarkan permohonan kesemua defendan untuk membatalkan saman berkenaan.

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy yang mewakili polis dan kerajaan, memberitahu media bahawa permohonan kesemua anak guamnya dibenarkan atas alasan saman berkenaan bersifat remeh, menyalahgunakan proses mahkamah dan bersifat melampau.

Umno memfailkan saman berkenaan pada 21 September 2018 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut agar wang yang disita itu dikembalikan kepada parti.

Dalam pernyataan tuntutannya, Umno antara lain memohon perisytiharan bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei 2018 adalah salah di sisi undang-undang dan mencabuli hak-hak parti berkenaan.

Tuntutan itu menamakan Sakri, Rajagopal, Amar Singh, IGP, dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima, mengikut turutan. Mk

UMNO Pekan, SUPP Dapat Balik Wang Lebih RM880,000 Disita SPRM

Leave a Reply