Pahala setaraf tentera jihad
oleh Dr Zamihan Mat Zin al- Ghari
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk golongan fakir dan golongan miskin, dan golongan amil yang mengurusnya dan mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan mereka yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang terputus perbelanjaan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu adalah) satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah ayat 60)
Lafaz ‘innama’ dan kata sendi ‘lil fuqara’ dalam ayat ini membuktikan asnaf zakat hanya terhad kepada lapan dan zakat adalah harta eksklusif Islam yang perlu diuruskan dengan amanah dan berintegriti. Amil zakat adalah satu bahagian terpenting dalam sistem pengurusan zakat. Kecekapan amil dapat menjamin keberkesanan pengurusan zakat sesuai dengan keperluan semasa.
Al-Quran memuliakan tugasan amil zakat dan meletakkan taraf amil pada kedudukan ketiga dalam martabat asnaf zakat yang lapan. Ini kerana amil adalah golongan yang menguruskan dua tanggungjawab asas iaitu kutipan dan agihan zakat. Namun, praktik sesetengah agensi agama di negara kita mungkin berbeza dengan tugas sebenar amil zakat berdasarkan kepada skop dan bidang masing-masing.
Justeru, amil zakat adalah mereka yang membantu pemerintah dalam negara Islam atau yang mendapat izin atau yang dipilih oleh agensi agama atau masyarakat Islam setempat (bagi minoriti Muslim) untuk mengumpul dan menyalurkan zakat dan mengendalikan urusan yang berkaitan dengannya.
Nabi SAW menyifatkan tugas amil yang mengutip dan mengagihkan zakat secara benar akan mendapat pahala setaraf tentera yang berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali ke rumahnya. (Riwayat Abu Daud)
Jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat jawatan amil zakat adalah jawatan yang dilantik oleh ketua kerajaan yang memerintah atau timbalannya dalam negara Islam.
Tanggungjawab amil mengikut jumhur ulama ialah mengutip dan mengagihkan zakat kepada asnaf yang ditentukan dalam naş atau fatwa semasa.
Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat tugas amil hanya mengutip zakat semata-mata.
Imam al-Nawawi menjelaskan tentang tanggungjawab pegawai zakat (amil): “Setiap amil yang bertugas di bahagian pentadbiran perolehan dan agihan serta kewangan zakat atau mana-mana pegawai tambahan yang diperlukan berhak menerima upah daripada bahagian asnaf amil. Bahkan jika tidak memadai mereka boleh mendapat peruntukan tambahan gaji. Mana-mana bahagian yang kekurangan pegawai mengikut nas mazhab al-Shafie maka kerajaan boleh menambah dengan melantik pegawai baharu.” (Al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, hlm 313)
Setiap pembayar zakat wajib menyerahkan kadar zakat mereka kepada amil zakat ditauliahkan pemerintah. Pembayar zakat tidak berhak mengagihkan kadar zakat mereka kepada asnaf pilihan mereka melainkan dalam keadaan diharuskan syarak seperti berikut:
1. Jika pemerintah atau kerajaan yang tidak melaksanakan syariat Islam.
2. Berlaku kelewatan pegawai zakat yang bertanggungjawab mengutip zakat sehingga dikhuatiri melewati tempoh haul. Imam Al-Zarkashi menukilkan nas yang dikemukakan oleh Imam al-Shafie bermaksud: “Jika kerajaan tidak menuntut kutipan zakat yang telah tiba masanya sehingga hampir kepada penghujung haul maka pembayar zakat harus mengagihkan zakat mereka kepada asnaf.” (Al-Zarkashi, Khabaya al-Zawaya, hlm 30)
Mengikut pendapat fuqaha, serahan zakat kepada amil mestilah memenuhi beberapa syarat dan adab tertentu kerana perkhidmatan amil adalah jawatan awam yang bertaraf hak al-Wilayah dalam negara Islam. Antara syarat dan adab amil zakat ialah:
1. Beragama Islam. Syarat ini disepakati oleh jumhur fuqaha. Namun, Imam al-Mawardi mengharuskan amil daripada kalangan bukan beragama Islam dalam perkhidmatan al-Tanfiz. Manakala upahnya hendaklah diambil daripada peruntukan belanja mengurus Baitulmal. Bagaimanapun pendapat ini adakah lemah dan ditolak.
2. Berstatus merdeka, bukan hamba atau hak pengurusannya dihalang atau disekat oleh undang-undang tertentu.
3. Seorang mukallaf yang mampu bekerja dan bukan daripada kalangan kanak-kanak, tidak siuman atau kurang upaya.
4. Bersifat adil dan bukan orang fasik dan zalim sehingga hilang kelayakan menjadi saksi serta sempurna pancaindera dan mengetahui hukum kutipan dan agihan zakat (fiqh al zakat).
5. Mengamalkan sifat amanah, jujur dan telus dalam perkhidmatan zakat.
Imam Abu Yusuf pernah menasihati Khalifah Harun al- Rashid: “Saya memohon kepada Tuan Khalifah untuk melantik pegawai awam yang jujur, amanah, sihat, bertanggungjawab kepada kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat, tidak menggelapkan dana zakat serta tidak menyalahgunakannya.”
Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik pekerja maka dia hendaklah diberi upah yang setimpal dan jangan pula dia mengkhianati majikannya.”
6. Berperibadi mulia, mesra dan boleh dipercayai (thiqah dan muru’ah). Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bertindaklah kamu dengan budi bicara yang paling mulia.”
7. Berpengetahuan luas dalam fiqh al-zakat serta berketrampilan dalam mengetahui hukum dan persoalan semasa berkaitan isu zakat serta mampu menyediakan perancangan strategik berkaitan zakat.
Ia sebagaimana tindakan Nabi SAW melantik Sayyidina Umar, Sayyidina Ali dan Sayyidina Mu’az bin Jabal RA menjadi pegawai zakat. Baginda SAW sentiasa memberi arahan baru berkaitan isu dan dasar pengurusan zakat, sedangkan ketiga-tiga sahabat ini mampu berijtihad dan dapat menguasai ilmu berkaitan zakat secara mendalam.
8. Ulama Hanabilah dan Shafi’iyyah mensyaratkan pegawai zakat terdiri daripada golongan lelaki. Namun ada sebahagian ulama dalam mazhab al-Shafie yang mengharuskan pegawai zakat terdiri daripada wanita. (Iaanat Talibin, Jld 2, hlm 190)
Oleh yang demikian, keperluan wanita untuk menjadi amil zakat boleh dipertimbangkan agensi agama berdasarkan keperluan masa kini berbanding melantik ejen atau pelayan online. Ini kerana mereka adalah komuniti terbesar dan penggiat pelbagai industri yang aktif serta menjadi penggerak utama ekonomi negara. Justeru, mereka wajar diberi peluang untuk menjadi amil zakat selagi tidak ada halangan dalil syarak secara khusus.
9. Mendoakan, mengucapkan tahniah dan kesyukuran kepada pembayar zakat supaya sentiasa mendapat pahala dan keberkatan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah, ayat 103 yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Ayat ni jelas menganjurkan kita mendoakan pembayar zakat agar mereka dapat meningkatkan kualiti kehidupan di dunia dan akhirat. Selain itu, Nabi Muhammad SAW pernah berdoa kepada Sayyidina Abdullah bin Abi Aufa yang datang membawa zakatnya kepada Baginda SAW dengan sabdanya: “Ya Allah, berikan rahmat dan kesejahteraan kepada Abdullah bin Abi Aufa.”
Seterusnya, Imam al- Shafie dan Imam al-Nawawi juga pernah berdoa kepada pembayar zakat berbunyi: “Allah akan memberi pahala kerana zakat yang telah kamu tunaikan. Ia akan membersihkan hatimu dan harta kekayaan milik kamu akan mendapat keberkatan.” (Raudhah Talibin, hlm 211)
10. Mengelakkan diri daripada mudah menerima sebarang bentuk hadiah atau saguhati yang boleh dihubungkaitkan dengan rasuah. Oleh itu, jawatan sebagai amil zakat tidak boleh dijadikan kemegahan dan batu loncatan untuk mencari kemewahan hidup duniawi. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, jika seseorang kamu memperolehi sesuatu daripada hasil sedekah (zakat) maka pada Hari Kiamat dia akan datang dengan memikul seekor unta, lembu atau kambing yang mengembek di atas tengkuknya.” (Sahih Muslim, hlm 218)
Manakala Sayyidina Umar al-Khattab RA sentiasa melakukan audit terperinci terhadap amil zakat dengan pertanyaan: “Daripada mana kamu memperoleh harta ini?”
11. Mempunyai daya inisiatif tinggi dengan turun padang mengutip zakat dan melakukan perancangan strategi berkesan supaya pembayar dan penerima zakat dapat menyucikan diri mereka bahkan khazanah kekayaan Allah ini dapat dikongsi secara menyeluruh.
Kesimpulannya, Islam memandang tinggi peranan dan tanggungjawab amil zakat. Maka sewajarnya seseorang amil zakat hendaklah terdiri daripada mereka yang menepati syarat dan adab yang ditetapkan syarak. Jika seseorang amil tidak menepati syarat dan adab ditetapkan maka ia dikhuatiri merencatkan agenda pengurusan zakat bahkan mampu mendatangkan fitnah terhadap Islam dan umatnya.