Anwar Ibrahim – nasib baik dan nasib tidak baiknya
Oleh Mohsin Abdullah
Anwar Ibrahim tidak bernasib baik apabila dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berada hanya satu tapak sahaja lagi sebelum ke puncak pentadbiran negara. Peristiwa berlaku pada September 1998.
Kita tahu ketika itu Anwar ialah timbalan kepada Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri.
Bukan sahaja Anwar dipecat, beliau dilempar pelbagai tuduhan mengaibkan termasuk melakukan liwat dan dituduh juga agen Amerika Syarikat dan Yahudi. Nasib tidak baik bertambah buruk. Ditangkap, dipukul dalam tahanan, dan kemudiannya dipenjara kerana mahkamah mendapati beliau bersalah kerana meliwat – satu tuduhan menurut beliau direka.
Namun Anwar bernasib baik apabila ribuan rakyat turun ke jalan raya membantah apa yang mereka lihat sebagai kekejaman keatasnya. Benar mereka menuntut reformasi atau perubahan dalam urus tadbir kerajaan tetapi demonstrasi setiap minggu yang diadakan khususnya di Kuala Lumpur dilihat sebaga bukti ribuan rakyat tidak percaya akan tuduhan yang dilempar ke atas beliau.
Berdasarkan itu saya kata beliau “bernasib baik” kerana ribuan menyebelahinya. Bukan sesuatu yang mudah rakyat tidak “termakan” tuduhan yang disajikan setiap hari melalui media massa dan sebagainya.
Turun ke jalan raya beramai-ramai menentang kerajaan bukan sesuatu yang lazim bagi masyarakat Malaysia. Apa lagi berdepan dengan kekerasan pasukan polis simpanan, gas pedih mata, dan pancutan air.
Anwar bernasib baik juga kerana akibat pemecatannya satu gelombang kebangkitan sebahagian besar rakyat tercetus dan beliau berjaya menggabung parti politik pembangkang. Maka lahirlah Barisan Alternatif, kemudiannya Pakatan Rakyat, dan disusuli Pakatan Harapan.
Yang menyokong Anwar terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang datangnya bukan sahaja parti politik tetapi juga pelbagai NGO dan kumpulan aktivis dengan bermacam fahaman.
Mereka bergerak sebagai satu “force” and tampil juga membantu keluarga Anwar yang amat memerlukan sokongan dan bantuan ketika itu.
Rata-rata mereka membantu tanpa mengharapkan balasan dan tanpa menuntut ganjaran. Memang Anwar bernasib baik.
Apabila beliau bebas dari penjara dan bergerak aktif semula dalam arena politik, Anwar mendapati dirinya dalam keadaan perlu membuat keputusan kritikal dan penting.
Lantas ada orang yang “setia dan banyak berkorban untuknya” diketepikan, atau “terpaksa diketepikan”. Tentunya bagi Anwar, beliau telah berbuat keputusan paling adil dan yang terbaik. Pun begitu tidak boleh dinafikan beliau tentu ada juga membuat kesilapan ketika memilih aanggota psukannya. Tidak boleh dinafikan kemungkinan “ada orang baik” yang diketepikan dan ada perkara penting yang beliau “terlepas pandang”.
Pada situasi begini, beliau tidak bernasib baik kerana ada orang bagus kecewa, makan hati, dan bertindak meninggalkannya.
Rafizi Ramli, antara tokoh PKR yang terkemuka, baru-baru ini mendakwa pernah menasihati Anwar berhati-hati dan jangan membiarkan dirinya dikelilingi dengan apa yang beliau sifatkan sebagai golongan “oportunis” dan “kaki ampu”.
Kata Rafizi, presiden PKR itu pernah memilih dan mempercayai Azmin Ali “dan lihat apa yang terjadi”. Azmin kita tahu pernah menjawat posisi timbalan presiden PKR tetapi berpaling tadah.
Gambaran yang diberi Rafizi ialah nasihatnya kepada Anwar tidak dituruti.
Jika apa yang Rafizi katakan itu benar, Anwar tidak bernasib baik kerana dikelilingi golongan “oportunis dan kaki ampu”.
Namun tidak boleh disangsi juga ada golongan setia dan bagus di sisi Anwar sekarang. Oleh itu beliau dalam keadaan bukan tidak bernasib baik, tetapi sukar kerana terpaksa membuat pilihan tepat – memilih mana kaca mana permata.
Anwar nama besar. Di universiti beliau terkenal sebagai pemimpin pelajar yang hebat pada 1970-an. Namun ramai generasi muda tidak tahu akan kehebatan zaman lampaunya. Era reformasi juga ramai orang muda yang tidak tahu.
Oleh itu ada pemerhati politik beranggapan orang muda masa kini tidak ramai yang boleh “relate” dengan Anwar.
Begitu juga peranannya dalam penubuhan apa yng dikenali sebagai Yayasan Anda. Ia satu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori Anwar.
Antara lain Yayasan Anda menyediakan peluang kepada pelajar khususnya pelajar Melayu miskin yang tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Lalu bagi saya, Anwar tidak bernasib baik kerana generasi sekarang tidak tahu itu semua. Terpulanglah kepada Team Anwar untuk memperbetulkan jika mereka mahu orang zaman ini tahu akan itu semua.
Anwar juga tidak bernasib baik kerana Mahathir “keberatan” untuk serahkan kuasa kepada beliau walaupun ada pejanjian yang dimeterai dalam kalangan Pakatan Harapan.
Bagi Mahathir pula, Anwar tidak boleh jadi perdana menteri kerana partinya PKR dianggotai pelbagai bangsa dan agama. Menurut beliau, seorang PM mesti datang dari parti Melayu.
Maknanya apa yang dikatakan beliau ialah PKR bukan parti Melayu dan Anwar tidak cukup Melayu dan terlalu “liberal” dan akan banyak “memihak” kepada masyarakat bukan Melayu. Sekali gus Anwar tidak boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan Melayu.
Anwar memang banyak bercakap dalam konteks “keadilan buat semua bangsa”. Namun ada golongan bukan Melayu mengganggap Anwar “terlalu Melayu”. Nasihatnya kepada orang bukan Melayu supaya jangan “menakut-nakut” orang Melayu dengan membuat pelbagai tuntutan kepada Pakatan Harapan (yang ketika itu memerintah Malaysia) dilihat sebagai “pro-Malay” dan “anti-non-Malay”.
Malah oleh kerana Anwar “berasal” daripada ABIM sebelum menyertai kerajaan Mahathir pada 1982, ada golongan bukan Melayu (termasuk ada orang Melayu sendiri) yang menyalahkan beliau akan wujudnya kumpulan “hardline Muslims” dalam masyarakat Malaysia. Kata mereka Anwar bergerak aktif dalam kempen penerapan nilai Islam anjuran pentadbiran Mahathir.
Mereka juga tidak lupa penekanan yang Anwar beri terhadap Bahasa Melayu semasa beliau menjadi menteri pendidikan dalam Jemaah Menteri Mahathir dan menggalakkan juga penggunaan sebutan baku.
Ertinya dituduh oleh orang Melayu sebagai pro-bukan Melayu dan tidak cukup Melayu, dan dilihat golongan bukan Melayu sebagai terlalu Melayu dan anti-bukan Melayu. Jelas pada aspek ini Anwar tidak bernasib baik.
Kini Anwar mendapati kedudukannya sebagai ketua pembangkang dipertikai dalam kalangan pembangkang sendiri walaupun diakui sokongan terhadap beliau masih ada. Lumrah ada yang sokong ada yang tidak. Persoalannya mana yang lebih ramai?
Semuanya kerana kegagalan menumbang kerajaan sedia ada khususnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melalui pengundian Belanjawan 2021.
Sokongan Ahli Parlimen UMNO untuknya tidak terjadi.
Pengumumannya sebelum ini mendakwa mempunyai “the numbers” untuk mengambil-alih Putrajaya juga tidak menjadi. Sekali lagi yang menjadi sandaran ialah sokongan Ahli Parlimen UMNO.
Dakwaannya mempunyai sokongan yang “kuat, utuh, meyakinkan” atau “strong, forminable, convincing” kini dipersendakan.
Beberapa penganalis dan pemerhati politik percaya semasa Anwar membuat pengumuman sedemikian beliau yakin (mungkin terlalu yakin) akan sokongan yang (akan) diperolehi tetapi “orang UMNO buat U-turn” dan janji tinggal janji.
Anwar tidak bernasib baik kerana (menggunakan istilah kasar) “kena game” dua kali.
Sekarang ada pihak dalam pembangkang mahu satu “reset” atau ketetapan semula strategi politik mereka. Ada yang mahu fokus diberi terhadap persediaan menghadapi PRU-15. Ada yang kata Anwar masih ada strategi yang boleh menumbangkan Muhyiddin tanpa PRU.
Walaupun ada pihak yang mahu jawatannya sebagai ketua pembangkang dilucutkan, Anwar bernasib baik kerana ramai dalam kalangan pembangkang dan juga pemerhati politik yang mengakui pembangkang tidak ada pilihan selain beliau untuk mengepalai gabungan oposisi. Tetapi dengan membuat beberapa perubahan kata mereka. Mungkin daripada segi pendekatan dan sebagainya.
Yang jelas Anwar punyai matlamat besar. Untuk mengubah nasib tidak baik menjadi nasib baik. FMT
You must be logged in to post a comment.