Dituduh gagal isytihar RM1 juta, Shahrir mohon tukar hakim

Tan Sri Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi FELDA, Shahrir Abdul Samad, yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak, memohon Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar permohonannya bagi memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Shahrir, memberitahu Nazlan bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.

Berdasarkan afidavit yang difailkan pada 17 Dis lepas, Shahrir memohon perintah agar Nazlan menarik diri daripada mendengar kes itu dan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang lain.

Ini kerana Shahrir bimbang kemungkinan besar pertimbangan Nazlan nanti adalah berat sebelah dan memberi kesan kepadanya, memandangkan beliau sebelum ini hakim dalam perbicaraan Najib.

“Melalui pertuduhan yang dikemukakan terhadap saya, saya didakwa menerima pendapatan daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad…Saya juga dinasihati peguam saya dan sesungguhnya percaya bahawa Najib dibicarakan dan disabitkan bersalah dan dihukum pada 28 Julai lepas.

“Hakim yang mendengar, membicarakan, memutuskan, dan menjatuhkan hukuman terhadap Najib di dalam kes SRC adalah Hakim Nazlan iaitu hakim yang sama dijadualkan untuk mendengar permohonan memindahkan kes saya.

“Antara alasan-alasan yang dibangkitkan ….yang menyokong permohonan memindahkan kes saya adalah cek yang didakwa diberikan kepada saya datangnya daripada Najib,” katanya dalam afidavit itu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Afif Ali memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan itu.

“Pihak responden memohon masa satu hingga ke dua minggu untuk menjawab afidavit tersebut,” katanya.

Firoz juga memohon dua minggu bagi membalas afidavit yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Nazlan menetapkan 8 Feb untuk mendengar permohonan itu.

Shahrir, 71, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 25 April 2014.

Pertuduhan ke atas beliau mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker