Tokoh sejarawan Kedah Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof meninggal dunia

ALOR SETAR: Tokoh sejarawan Kedah yang juga bekas Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof, meninggal dunia dipercayai kerana sakit tua di Pusat Perubatan Kedah (KMC), hari ini.

Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar, berkata Wan Shamsuddin, 88, meninggal dunia jam 6.15 petang tadi dan jenazah telah dibawa pulang ke kediaman keluarga arwah, di sini.

Beliau berkata, difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan pada pagi esok.



“Saya amat terkejut apabila menerima berita kematian beliau kerana baru saja bersembang dengan Allahyarham ketika berjumpa, baru-baru ini.

“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan sangat besar bukan saja kepada persatuan tetapi juga seluruh Kedah.

“Allahyarham diibaratkan khazanah ensiklopedia sejarah kerana sangat mencintai dunia sejarah,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Setiausaha Kehormat PSMCK, Mohd Faisal Mustaffa, menyifatkan Allahyarham yang mesra dengan panggilan ‘Tok Wan’ ketika hayatnya, sebagai seorang yang mesra dan memiliki minat mendalam dalam bidang sejarah.



“Selepas meninggalkan jawatan Pengerusi PSMCK, kita telah melantiknya sebagai Penasihat persatuan kerana beliau adalah seorang yang berpengetahuan.

“PSMCK juga selalu memanggil beliau ke seminar dan program anjuran kita untuk menyampaikan mengenai sejarah negara, terutama Kedah,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian tokoh itu sebagai kehilangan besar yang sukar dicari ganti.

Beliau berkata, legasi ditinggalkan Allahyarham sepanjang tempoh menerajui PSMCK telah memberikan impak besar dalam penerokaan minat terhadap aktiviti persejarahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini.



Katanya, Allahyarham membuktikan kesungguhan serta minat amat mendalam terhadap bidang kaji selidik dan penghasilan artikel, jurnal serta buku berkaitan sejarah Kedah yang bernilai tinggi.

“Semoga usaha bakti Allahyarham dibalas dengan sebesar-besar ganjaran pahala di sisi Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker