Bersatu dijemput bincang agihan kerusi selepas rundingan Umno-Pas
Jawatankuasa Perundingan Kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara Umno dan Pas sudah mengadakan mesyuarat beberapa kali sebelum ini tanpa penyertaan Bersatu, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) berkenaan dalam mesyuarat minggu lalu memutuskan untuk menjemput Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbincang mengenai hal sama.
“Mesyuarat terakhir yang dibuat pada minggu lepas… yang saya pengerusikan bersama Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden Umno)… kita bersetuju untuk jemput sekali Bersatu berada dalam jawatankuasa pengagihan kerusi supaya perundingan itu melibatkan tiga parti.
“Insya-Allah, peringkat Pas dan Umno sangat positif (pengagihan kerusi) akan selesai,” katanya di Kota Bharu semalam.
Untuk rekod, Bersatu berada di bawah Perikatan Nasional (PN) manakala Pas yang bekerjasama dengan Umno dalam MN turut menyertai PN.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, perbincangan bersama dalam MN setakat ini positif ke arah mencari penyelesaian supaya tidak berlaku pertembungan tiga penjuru antara PN) dan MN.
Tambahnya, perbincangan agihan kerusi dalam MN pada masa ini sudah mencapai tahap 50 peratus penyelesaian.
You must be logged in to post a comment.