Peluang Liverpool tinggalkan Tottenham

Minggu ini paling sibuk buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang sambutan Krismas minggu depan dan tahun baru 2021, seminggu selepas itu. Namun, ia bagaikan ada hikmah buat Liverpool, apabila berjaya kembali menguasai persada liga minggu ini.

Dan sudah pasti ia turut dianggap minggu paling bertuah buat Jurgen Klopp apabila dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik FIFA 2020. Warga Jerman itu mengenepikan cabaran jurulatih Bayern Munich, Hans-Dieter Flick dan pembimbing Leeds United, Marcelo Bielsa.

The Reds kembali menguasai takhta liga selepas mengenepikan Tottenham Hotspur, 2-1, dalam kemenangan dramatik di Anfield pada awal pagi Khamis lalu. Kejayaan itu membolehkan ia mengumpulkan 28 mata selepas 13 aksi, meninggalkan Spurs tiga mata di belakang.

Malam ini The Reds meneruskan lagi perjuangan mereka dengan berkunjung ke Selhurst Park, bertemu pasukan bimbingan Roy Hodgson, Crystal Palace. Jika di atas kertas, Liverpool dijangka mampu mengutip mata penuh meskipun Hodgson ada peluang memerangkap pelawatnya itu.

Dalam pada itu, perlawanan tumpuan minggu ini membabitkan aksi antara skuad di tempat kedua bimbingan Jose Mourinho dan pasukan ditangga keempat liga, Leicester City di London, malam esok.

Sebelum aksi ke-14 itu, Tottenham dan Leicester hanya dipisahkan satu mata selepas mengutip 25 mata dengan kedua-duanya berpotensi untuk dipintas pasukan lain seperti Everton (23 mata), Manchester United (23) dan Chelsea (22) jika satu daripadanya tewas.

Tottenham yang gah mendominasi liga selama tiga minggu berturut-turut sebelum dipintas Liverpool pada pertengahan minggu, tiada pilihan lain kecuali memenangi aksi di laman sendiri itu selepas dilihat berpeluang besar merangkul kejuaraan musim ini.

Mengikut rekod lalu, Spurs menang lima daripada tujuh pertemuan dengan lawannya itu sebelum ini, manakala The Foxes hanya menang sekali daripada aksi di tempat seterunya iaitu pada musim 2015-2016 ketika mereka merangkul kejuaraan liga.

Meskipun Leicester dilihat bukan ancaman besar buat Spurs berbanding Liverpool minggu lalu, Mourinho harus tetap tertekan dengan skuad Brendan Rodgers yang memiliki gandingan berbisa, James Maddison dan Jamie Vardy.

Bagi pertemuan kali ini, Mourinho dijangka terus menurunkan gandingan kapten pasukan, Harry Kane dan Son Heung-min di barisan depan. Son harus bermotivasi selepas jaringannya yang membolosi gawang Burnley musim lalu dipilih menerima Anugerah Puskas FIFA kelmarin.

Sementara itu, Manchester United yang melonjak ke tangga keenam liga selepas menewaskan Sheffield, 3-2 di laman lawannya kelmarin, akan menyambut kunjungan Leeds tengah malam esok untuk meneruskan kebangkitan selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara minggu lalu.

Chelsea pula yang dikejutkan Wolves 2-1 pertengahan minggu dan Everton (1-0) minggu lalu tidak punya pilihan kecuali menang ke atas West Haman di laman sendiri manakala Arsenal terus berdepan cabaran besar apabila bertamu di Goodison Park, bertemu Everton awal pagi esok. Selamat menonton

 

Ramalan Minggu ini:

C Palace 1-2 Liverpool

Southampton 2-2 Man City

Everton 2-1 Arsenal

Newcastle 1-1 Fulham

Brighton 3-1 Sheffield

Tottenham 3-2 Leicester

Man United 1-1 Leeds

West Brom 1-1 Aston Villa

Burnley 1-1 Wolves

Chelsea 2-1 West Ham

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker