Seramai 513 wanita, 496 lelaki akui jadi mangsa intai
Kuala Lumpur: Kerajaan diminta segera mengklasifikasikan perbuatan ‘mengintai’ atau ‘menghendap’, termasuk menerusi media sosial sebagai perbuatan jenayah.
Ia berikutan lebih satu pertiga atau 36 peratus daripada 1,080 rakyat di negara ini pernah diintai.
Dalam tinjauan terkini dijalankan firma penyelidikan pasaran, Vase.ai dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), mendapati kira-kira 39 peratus daripada 513 wanita dan 32 peratus daripada 495 lelaki mengakui mereka pernah menghadapi perlakuan dihendap lebih daripada sekali dan ia dilakukan berterusan.
Timbalan Pengarah Eksekutif WAO, Yu Ren Chung, berkata susulan keputusan tinjauan itu, pihak kerajaan perlu segera mengklasifikasikan gejala menghendap atau mengintai sebagai perbuatan jenayah.
Ini kerana, katanya, jika perlakuan itu diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah ia akan membolehkan pihak berkuasa memberikan maklum balas lebih baik, termasuk membuatkan orang ramai tampil membuat laporan, selain memastikan mereka yang dihendap dilindungi.
“Sudah ada keperluan mendesak undang-undang anti-menghendap dan mensabitkan perbuatan itu sebagai jenayah supaya membolehkan perlindungan kepada mangsa secara menyeluruh.
“Undang-undang seperti ini juga akan membantu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai mengendap serta menyebarluaskan kesedaran mengenai kesannya dan mengaitkan perbuatan jenayah ke atas pelakunya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat awam keputusan tinjauan ‘Memahami Pengalaman Hendap Kalangan Rakyat Malaysia’ baharu untuk menyokong perlakuan menghendap sebagai perbuatan jenayah di negara ini, semalam.
Berdasarkan hasil tinjauan itu, perlakuan yang dikaitkan dengan menghendap, termasuk menerima panggilan telefon dan pesanan ringkas daripada individu tidak diingini, menerima hadiah tidak diingini, diperhatikan atau diekori, kedatangan seseorang tidak diingini di rumah, tempat kerja atau sekolah dan perbuatan vandalisme.
Ren Chung berkata, meskipun hasil kajian menunjukkan 69 peratus responden percaya perlakuan itu adalah perbuatan salah, namun tahap kelaziman tinggi dan kadar laporan rendah bagi perlakuan terbabit menunjukkan terdapat jurang dalam undang-undang.
“Ini berikutan walaupun perbuatan menghendap adalah suatu perkara biasa berlaku, hinggakan ia hanya dibiarkan tanpa sebarang laporan dan hukuman.
“Justeru, kita di WAO menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan
untuk mengambil maklum balas mengenai keputusan tinjauan terkini ini seterusnya mengorak langkah bagi pihak kerajaan mengklasifikasikan menghendap sebagai perbuatan jenayah dengan segera,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata daripada kesan menghendap mangsa terpaksa hidup dalam ketakutan dan boleh menyebabkan kecederaan, selain membawa pengaruh negatif kepada aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan dan rumah tangga.
“Hampir separuh atau 46 peratus responden yang dihendap mengalami kesan negatif dalam kehidupan seharian mereka.
“Selain itu, hampir satu perlima atau 18 peratus responden yang pernah berdepan perlakuan berkaitan hendap mengatakan mereka tidak dapat menumpukan perhatian di tempat kerja; 17 peratus berasa tidak selamat ketika berseorangan di tempat awam dan 16 peratus berasa tidak selamat untuk menghadiri kelas dan kursus latihan dan kemahiran,” katanya.