Muhyiddin, Zafrul digesa jelaskan dakwaan rundingan terus projek di Kedah

Pergerakan Wira Putra Malaysia menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi penjelasan mengenai projek loji rawatan air di Kedah bernilai RM550 juta yang didakwa dilakukan melalui rundingan terus.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, dakwaan itu boleh mencemarkan kepimpinan menteri dan menjejaskan politik dalam negara.

Jelas beliau, ini kerana rakyat yang berhadapan dengan kepayahan hidup akibat pandemik Covid-19 akan mempersoalkan ketelusan kerajaan.

“Hal seperti ini yang mencemar kemurnian politik tanah air apabila seseorang yang menjadi pemimpin politik berkehendakkan terhadap sesuatu hingga lupa amanah yang dipikul tidak boleh terkait dengan apa jua kepentingan peribadi.



“Rakyat pada ketika ini terbeban dengan kurang pendapatan hingga ada yang kehilangan kerja. Yang muda mungkin masih mampu mencari jalan, namun yang berusia 40-an ke atas akan mengalami kesukaran memperoleh pekerjaan.

“Nak minta keluar KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sendiri pun punyai syarat ketat dan kena lalui proses yang panjang. Tapi pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh pula dapat projek rundingan terus yang silap-silap keuntungannya tujuh keturunan tak habis makan,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini tular di media sosial perbualan Whatsapp di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dengan Zafrul mengenai sebuah projek loji rawatan air di Plubang, Kedah.

Menerusi perbualan itu, Takiyuddin menyatakan kepada Zafrul bahawa pemilik projek, Bina Darulaman Berhad (BDB) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Kedah sudah mempunyai rakan usaha sama.



Ini susulan tindakan Taliwork Corporation yang menguruskan bekalan air Langkawi selama 25 tahun memohon kerajaan persekutuan untuk menjadi rakan usaha sama dengan BDB.

Difahamkan perjanjian Taliwork bakal berakhir tidak lama lagi.

Bagaimanapun Setiausaha Politik Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud baru-baru ini tampil menjelaskan bahawa perbualan yang ditularkan itu dipetik di luar konteks dengan niat memberi perspektif negatif dan mencemarkan nama menteri dari Pas itu.

Jelas Wan Rohimi, Setiausaha Agung Pas itu menjadi penyelaras antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah bagi memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua belah pihak selari dengan dasar kerajaan.



Beliau juga berperanan menjadi pemudah cara terhadap isu-isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian atau jabatan termasuk agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah selepas dilantik sebagai Menteri Penyelaras pada 1 September lalu.

Dalam pada itu, sekiranya tuduhan berkenaan merupakan fitnah, Nasrul menyeru agar laporan polis dibuat terhadap pihak yang bertanggungjawab menularkan tangkapan layar berkenaan.

Pada masa sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa untuk mengambil tindakan sekiranya wujud penyelewengan melibatkan menteri.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula boleh buka kertas siasatan sekiranya terdapat laporan menyatakan ia fitnah atau sebalik bagi memastikan segala tindakan adalah telus dan tidak berat sebelah,” tambahnya. MG



Penularan perbualan projek di Whatsapp Takiyuddin, Zafrul berniat jahat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker