Dilema mangsa gangguan seksual libatkan individu popular

Sesetengah mangsa gangguan seksual takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika melibatkan orang kenamaan dan tokoh popular masyarakat, kata Lilian Kok, pegawai program Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam).

“Disebabkan oleh kuasa si pelaku, kadang-kadang mereka fikir siapa aku (mangsa) untuk orang percaya?

“Mangsa mungkin rasa polis tak percaya kerana status si pelaku. Ini memberi kelebihan kepada mereka (si pelaku),” katanya.

Menurutnya, kes gangguan seksual berprofil tinggi jarang dilaporkan (kepada polis) disebabkan tekanan yang diterima oleh mangsa.

“Mangsa jarang nak buat laporan kerana tekanan, mereka fikir, orang kaya ini kacau aku jadi tiada siapa nak percaya aku.

“Bayangkan betapa banyaknya kes yang tidak dilaporkan kepada polis,” tambahnya.


Awam antara NGO hak wanita yang mendukung rang undang-undang gangguan seksual diperkenal sejak 1990-an.

RUU itu sepatutnya dibentangkan di parlimen pada November lalu namun ditangguhkan.

Ketika diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini, Lilian berkata terdapat kes mangsa dituduh membuat dakwaan palsu bagi mendapatkan balasan tertentu atau menjatuhkan nama pelaku.

“Isu ini melibatkan reputasi mangsa. Jika mereka membuat laporan, mereka terpaksa cerita kejadian itu berulang kali kepada polis dan mahkamah agar mereka dipercayai. Ini merupakan proses yang memalukan (mangsa).

“Jadi bagi saya tak masuk akal kalau nak kata pengadu mempunyai niat buruk terhadap pelaku. Mereka tak dapat keuntungan pun.”

Lelaki juga boleh jadi mangsa

Lilian juga berkata kaum lelaki memainkan peranan besar untuk menentang jenayah rogol.

Katanya, lelaki juga boleh jadi mangsa gangguan seksual.

“Kebanyakan mangsa lelaki pendam jika diganggu secara seksual.

“Mereka pendam kerana rasa malu sebab tak lawan balik. Dan sistem patriaki menganggap lelaki tak sepatutnya jadi mangsa gangguan seksual,” katanya.

Perkara itu, kata Lilian, menyebabkan masalah mental yang ditanggung oleh mangsa lelaki jauh lebih teruk.

Gangguan seksual dalam talian meningkat

Awam menerima 133 aduan gangguan seksual sepanjang tahun ini, termasuk 59 kes dalam talian.

Sebanyak 108 kes berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac.

“Sewaktu PKP, memang kes gangguan seksual meningkat sebab orang duduk rumah. Dalam talian semua orang lagi berani.

“Mereka duduk belakang skrin, mereka boleh buat apa saja. Sebab itu kes macam ini sukar untuk dikesan,” katanya.

Awam melaksanakan kempen menyokong pembentangan RUU Gangguan Seksual.

Sepanjang November, lebih 500 rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang dianjurkan mereka untuk menyokong pembentangan RUU tersebut.

Petisyen dalam talian pula mengumpul lebih 17,000 tandatangan.

“Ini menunjukkan rakyat Malaysia nak satu saluran untuk menangani masalah gangguan seksual di negara kita.

“Usaha untuk menjayakan penubuhan akta gangguan seksual semestinya kerjasama antara rakyat Malaysia,” katanya. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker