Ku Li dakwa mampu tarik sokongan MP Umno tolak belanjawan Muhyiddin
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan dia mampu menarik sokongan ahli parlimen parti itu bagi menyokong kerjasamanya dengan Dr Mahathir Mohamad.
“Mungkin,” katanya ringkas pada sidang media khas mengumumkan kerjasamanya bersama ahli parlimen Langkawi itu di Kuala Lumpur hari ini.
Menjelaskan tujuannya bersama Mahathir, Tengku Razaleigh berkata negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya keabsahan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin juga diragui selain dia sendiri berpendapat PN merupakan kerajaan yang tidak sah.
“Ia tidak sah. Kerajaan yang kita ada hari ini tidak sah, dan perdana menteri hari ini seorang perdana menteri yang tidak sah,” katanya lagi.
Tengku Razaleigh turut menegaskan yang dia tidak akan mengundi untuk Belanjawan 2021 yang dibaca untuk kali ketiga esok.
Kepimpinan Muhyiddin Yassin selama ini dilihat tidak kukuh apabila jumlah ahli parlimen yang menyokong dan menentangnya dibezakan dengan jumlah yang sangat tipis.
Ia juga tidak pernah diuji melalui undi percaya atau undi tidak percaya di parlimen.
Peralihan sokongan segelintir ahli parlimen kerajaan dan jika digabungkan dengan undi pembangkang yang bersatu menolak belanjawan esok cukup untuk menjatuhkan kerajaan PN.
Pada 22 Nov lalu, tokoh veteran Umno itu memaklumkan dia tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun tidak membenarkan keabsahan perdana menteri dan kerajaan PN dibuktikan.
Dia menyampaikan hasrat itu kepada Azhar menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Nov, yang antara lain mengkritik keengganan Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Ditanya sama ada kerjasamanya dengan Mahathir memungkinkannya untuk dihadap ke jawatankuasa disiplin parti, Tengku Razaleigh berkata dia boleh menyokong sesiapa sahaja yang beliau mahu.
“Tindakan disiplin apa? Semua orang boleh sokong sesiapa sahaja yang mereka mahu,” katanya lagi.