Belanjawan 2021: Benarkah Kerajaan PN prihatin pada pendidikan negara?

MENTERI Kewangan mengumumkan sektor pendidikan kekal menjadi sektor terbesar dalam belanjawan kali ini. Ini bukanlah satu keistimewaan buat kerajaan PN, kerana setiap tahun sektor pendidikan adalah sektor yang paling banyak mendapat peruntukan walau siapa juga menjadi kerajaan. Maka ia tidak boleh disifatkan sebagai istimewa buat kerajaan PN.

Namun, malangnya pengumuman gah yang dibuat hanya melibatkan beberapa perkara iaitu memperuntukan sejumlah wang untuk penyelenggaraan fizikal sekolah, membaiki sekolah daif sabah dan Sarawak, bantuan Rancangan Makanan Tambahan(RMT), peruntukan pendidikan khas dan membina dewan terbuka di sekolah kerajaan.

Jika Menteri Pendidikan dengan bangganya mengumumkan bahawa kerajaan memberikan peruntukkan yang besar pada pendidikan khas dan sekolah daif, perlu disedari ia adalah hasil kesinambungan dari belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Antara isu yang bolwh dilihat ialah:

1. Pendigitalan Pendidikan



Disini dapat dilihat bawah pengumuman-pengumuman yang dibuat ini tidak menjiwai semangat norma baru dalam pendidikan. Apabila kerajaan mengumumkan kearah pendigitalan pendidikan tetapi belanjawan tidak kearah itu. Sering kali diperkata bahawa murid/pelajar kita mempunya telefon pintar untuk jadi media mereka belajar secara dalam talian, yang menjadi masalah adalah pas jaringan internet. Murid/pelajar perlu mencari duit untuk menghidupkan pas internet mereka setiap kali mahu belajar. Sebab itu, kita mencadangkan supaya pas internet percuma untuk murid/pelajar diberikan. Dengan adanya pas internet ini, murid/pelajar boleh menyertai kelas dalam talian tanpa memikirkan soal mendapatkan duit. Malangnya tiada satu usaha yang menyentuh memudahkan murid/pelajar mendapatkan internet secara percuma.

2. Tajaan Pendidikan

Melihat kepada butiran anggaran perbelanjaan 2021 Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM), didapati perbelanjaan bagi tajaan pendidikan bagi kementerian ini telah dikurangkan. Pengurangan berlaku dari RM 73.72juta kepada RM 62.45juta iaitu sebanyak RM 11.27juta. Ini membuktikan bahawa kerajaan hari ini sanggup mengurangkan penajaan pendidikan bagi rakyat Malaysia yang sedang dihimpit kesusahan akibat pandemik Covid-19. Menaja pelajar dalam pendidikan merupakan usaha yang lebih penting dari usaha-usaha lain yang dianggap tidak perlu pasca pandemik ini.

3. Pengukuhan Profesionalisme Guru & Kepimpinan



Selain itu, dalam belanjawan kali ini, golongan guru dan pentadbir tidak mendapat sebarang keistimewaan melainkan bonus RM600 bagi mereka yang bergred 56 kebawah. Apabila disemak secara terperinci, perbelanjaan bahagian pengukuhan profesionalisme guru dan kepimpinan telah berkurang dari RM 745juta berbanding semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperuntukan sebanyak RM 707juta. Dalam bahagian ini, perbelanjaan diperuntukan untuk meningkatkan kemahiran guru-guru sedia ada serta mewujudkan kepimpinan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri(JPN) yang lebih berkualiti. Melalui peruntukan yang ada ini, ia akan mengadakan program-program khusus untuk meningkatkan keupayaan guru sebagai tenaga pengajar dan penjawat awam termasuk yang akan menjadi guru. Namun, kerajaan yang ada hari ini telah mengurangkan perbelajaan ini yang pastinya mampu merencatkan proses ini. Dengan seruan kerajaan yang mahu pembelajaran norma baharu dan pendigitalan dijalankan tetapi kerajaan mengurangkan perbelajaan atas seruan itu. Benarkah kerajaan prihatin pada guru dan kepimpinan pendidikan?

4. Industri Buku

Buku merupakan media penting menyampaikan ilmu, namun ledakan teknologi menyebabkan budaya membaca buku semakin merosot. Lebih mendukacitakan, tahun 2021, memperlihatkan kerajaan tidak memperuntukan perbelajaan yang besar untuk menyuntik kepada industri buku. Tiada pertambahan istimewa untuk Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) bagi menyemarakan semula budaya membaca. Golongan sastera yang dulunya menjadi pelita pada kebangkitan rakyat dipinggirkan dalam belanjawan kali ini. Institusi Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) yang kini dipimpin oleh seorang ahli parlimen parti Islam, tidak mampu menjadi pembela kepada dunia buku.

5. Bantuan Awal Persekolahan



Keadaan pandemik dan PKP yang menjejaskan ekonomi rakyat. Sepatutnya rakyat harus dibantu terutamanya bantuan awal persekolahan. Walau apa pun masalah yang timbul, proses pendidikan tidak boleh diganggu. Kerajaan melalui KPM harus berusaha sedaya mungkin untuk memastikan pendidikan rakyat tidak terjejas. Dalam belanjawan kali ini, bantuan awal persekolahan yang berfungsi membantu rakyat kesusahan berkurang sebanyak RM30 juta berbanding tahun lalu.

6. Pengukuhan Operasi Pendidikan

Setiap kali pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM, penegasan diberikan bahawa proses pembelajaran harus dijalankan dalam talian jika sekolah ditutup, dan penjarakan fizikal dilaksanakan jika sekolah dibuka. Tetapi ia sekadar arahan, insentif untuk memastikan arahan ini berjalan lancar tidak ada. Lihatlah dalam perbelajaan bahagian Pengukuhan Operasi Pendidikan, peruntukan telah berkurang dari RM 337juta kepada RM 266juta. Ia berkurang sebanyak RM 71juta. Dalam bahagian ini, peruntukan digunakan untuk menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran dan penilaian. Pastinya dengan norma baru secara pendigitalan, peruntukan sepatutnya diberikan kepada bahagian ini bagi merombak semula bahan pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran dan penilaian mengikut kaedah baru. Lebih mendukacitakan, bahagian pembangunan kurikulum yang bertanggungjawab melihat dan menilai sukatan pelajaran sekolah juga termasuk dalam peruntukan ini yang mengalami kemerosotan.

Inilah, antara intipati yang dapat dikupas dan menjadi kayu pengukur kepada kerajaan hari ini sama ada prihatin dalam pendidikan. Kewujudan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah menggangu peruntukan bidang lain. Tidak semestinya belanja yang besar, itu adalah keprihatinan kerajaan. Yang utama adalah peruntukan itu diberikan kepada yang benar-benar mampu membantu rakyat dalam keadaan sekarang ini. Kita patut teruja apabila PAS berada dalam kerajaan, dijangka seluruh surau sekolah di Malaysia akan dibesarkan. Tapi hakikatnya tidak. Jadi adakah kerajaan PN prihatin pada pendidikan negara? MG



SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN
Penulis Politik – Tinta Siyasah

Kerajaan digesa bincang langkah konkrit pendidikan susulan sekolah terus ‘cuti’



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker