Krisis politik Melayu, dari Langkah Sheraton ke usul Perak

Kurang setahun lalu, tiga parti Melayu, teruja dengan cadangan penubuhan kerajaan berasaskan Melayu bersatu dalam usaha menyatukan orang Melayu. Mereka mencapai kemuncaknya apabila “Langkah Sheraton” membawa kepada kuasa di Putrajaya, tetapi euforia itu hanya kekal selama empat hingga lima bulan sahaja.

Sumber dalaman politik berkata, pertembungan itu tercetus apabila Umno, PPBM dan PAS memulakan rundingan kerusi untuk pilihan raya akan datang.

“Mereka sedar jika Umno minta lebih banyak kerusi di Kelantan, PAS akan minta lebih banyak kerusi di Kedah. Semakin banyak setiap pihak bagi, semakin ramai ahli yang tidak senang,” kata satu sumber daripada Perikatan Nasional (PN) kepada FMT.

Di sebalik kemungkinan itu, ketiga-tiga parti bagaimanapun berjaya menyelesaikan rundingan mereka mengenai majoriti kerusi. Tetapi rasa tidak puas hati tetap ada.

“Kekecewaan utama datang daripada kenyataan setiap parti mempersoalkan kenapa mereka perlu menyerah kepada yang lain. Ketiga-tiganya mahu menjadi ‘kingmaker’, atau malah raja, pada PRU15. Nampaknya ada defisit kepercayaan antara mereka,” katanya.

Ketidakpercayaan itu menyebabkan PAS dilamar Umno dan PPBM, satu dengan sokongan akar umbi dan lagi satu memegang jawatan berkuasa.

Dalam keinginannya untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara, PAS akan bekerjasama dengan parti yang berkuasa, kata sumber itu. PAS mungkin menyokong PPBM buat masa ini, tetapi keadaan boleh berubah selepas Parlimen dibubarkan. “Kemudian, mereka boleh kembali kepada Umno yang mempunyai sokongan akar umbi, bukan PPBM,” katanya.

Sumber lain daripada Barisan Nasional (BN) berkata, Umno dan PPBM buntu dalam sistem tiga parti itu.

“Ahli Umno mempersoalkan keperluan menyerah kepada PPBM tatkala mereka boleh menguruskan negara dengan sendiri. Bagi PPBM, gambaran mereka sebagai ketua gabungan yang memerintah menjadi pertaruhan jika mereka gagal memenangi kerusi. Mereka memerlukan PAS (untuk memberi undi),” kata sumber BN itu.

Matlamat idealistik gabungan tiga parti Melayu itu mungkin tidak akan bertahan. “PAS akhirnya akan kembali kepada Umno untuk mengambil hati orang Melayu,” katanya.

Ketidakstabilan di Perak

Seorang ahli BN Perak memberitahu FMT, ramai ahli partinya tidak senang dengan menteri besar Perak yang disingkirkan, Ahmad Faizal Azumu, kerana didakwa tidak menunjukkan prestasi. Ini membawa kepada usul percaya di DUN pada Jumaat lalu untuk menyingkirkan beliau.

“Tujuannya untuk mendapatkan sokongan PAS bagi melantik menteri besar baru. Tetapi itu mengejutkan Umno apabila PAS pada mulanya tidak menyokong mereka selepas Ahmad Faizal disingkirkan,” katanya.

Ini menyebabkan Umno bertindak membuka perbincangan dengan pembangkang Pakatan Harapan mengenai pembentukan kerajaan negeri itu.

Rundingan itu akan menjadi perjanjian kepercayaan-dan-penawaran, bagi PH untuk menyokong BN supaya rang undang-undang diluluskan di DUN, tetapi tanpa memegang jawatan.

PAS takut, dan pada 6 Disember, parti itu memberitahu Umno mereka akan menyokong BN dan menyatukan ketiga-tiga parti berasaskan Melayu itu. Sejak itu, perbincangan terus menjadi tegang. “Situasi di Perak masih tak stabil,” tambahnya. FMT

Mahathir yang ‘Kencing’ atau Azmin yang ‘Hancing’?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker