Sidang Dewan Rakyat terjejas akibat amaran kebakaran
Sidang Dewan Rakyat terjejas seketika hari ini akibat amaran kebakaran.
Amaran kebakaran itu berbunyi selepas 10 minit sidang Dewan Rakyat bermula 10 pagi tadi, ketika waktu pertanyaan menteri berlangsung.
Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun segera menangguhkan persidangan.
Bagaimanapun, setiausaha bahagian keselamatan Parlimen kemudiannya memaklumkan ia adalah amaran palsu.
Oleh itu, sidang Dewan Rakyat disambung semula kira-kira 10.37 pagi tadi.
Azhar berkata, berlaku sedikit masalah teknikal dan puncanya sedang disiasat sekarang. FMT
“Terima kasih atas kerjasama semua. Saya rasa ada sedikit masalah teknikal.
“Punca kejadian sedang disiasat,” katanya.
Sidang diteruskan dengan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) menyambung soalan tambahannya berhubung bantuan kerajaan untuk Felda.