Tatacara masuk Sarawak membebankan?

oleh Nadia

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah memutuskan semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang ingin masuk ke Sarawak perlu memohon kemasukan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

Isu ini sangat meresahkan kebanyakan penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.

Kos ujian Covid-19 dan kuarantin 14 hari

Semua warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sarawak perlu kuarantin selama 14 hari dan ujian Covid-19 diambil pada hari ke-2 dan ke-10.

Kos kuarantin dan ujian Covid-19 ditanggung oleh diri sendiri.

Untuk makluman, polisi ini hanya dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak sahaja.

Kos ujian Covid-19 dan kuarantin adalah seperti berikut;

Ujian Covid-19: RM150 x 2 kali

Hotel Kuarantin: RM 150 x 14 hari

Jumlah: RM 2400

Kos keseluruhan ialah RM2,400 seorang. Ini tidak termasuk ahli keluarga yang lain sekiranya ada.

Keputusan JPBNS sentiasa berubah

Keputusan JPBNS berkenaan tatacara kemasukan ke negeri Sarawak dari Semenanjung selalu berubah dan membuatkan tarikh perjalanan penerbangan terpaksa ditunda ataupun dibatalkan.

Pasangan jarak jauh (PJJ)

Mesej yang dihantar oleh MKN bertarikh 20 November 2020 mengatakan bahawa pasangan suami isteri jarak jauh boleh rentas negeri atau daerah sepanjang PKPB langsung tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap tatacara kemasukan ke negeri Sarawak dari Semenanjung Malaysia.

Pemangku Pengerusi JPBNS, James Masing menjelaskan pasangan yang bukan rakyat Sarawak tidak berhak ke atas subsidi atau pelepasan kos kuarantin yang merupakan wang pembayar cukai.

Penjawat awam persekutuan kebanyakannya adalah pembayar zakat Baitulmal Sarawak, malah ada yang membuat bayaran melalui potongan gaji.

Cuti sekolah bermula 19 Disember 2020

Majoriti guru yang berasal dari Semenanjung Malaysia ingin pulang ke kampung halaman. Terdapat sebilangan guru yang tidak pulang sejak PKP dilaksanakan pada Mac.

Guru-guru akur dengan arahan menteri pendidikan, Dr Radzi Jidin dalam sidang media bertarikh 8 November 2020 berkenaan penutupan semua sekolah di Malaysia. Semua guru perlu melaksanakan home-based learning dan kekal di stesen bertugas masing-masing.

Menerusi sidang media menteri pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada 16 November, guru-guru di Sarawak dan Sabah yang ingin pulang hanya perlu membuat permohonan kepada PDRM untuk rentas negeri dan situasi menjadi lebih mudah untuk pasangan yang PJJ. Kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri pertahanan sekalipun tidak memberi kesan terhadap keputusan JPBNS.

Kebajikan penjawat awam

Sebagai penjawat awam yang berintegriti, kami masih menjalankan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan tekun berkhidmat demi anak bangsa Sarawak dan Malaysia khususnya.

Tindakan kerajaan negeri Sarawak dalam menangani pandemik Covid-19 seharusnya diberikan pujian namun begitu dengan perubahan SOP dan lanjutan tatacara kemasukan ke Sarawak dirasakan agak berat sebelah.

Besar harapan kami agar kerajaan persekutuan membantu meringankan bebanan kami warga Semenanjung Malaysia yang bekerja di Sarawak.

NADIA ialah penjawat awam di Bumi Kenyalang.

Ingin masuk ke Sarawak? Ini syarat dan prosedur yang harus anda patuhi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker