Pencapaian PPBM, Wan Fayhsal disindir Puad
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak patut berbangga dengan dakwaan mencipta sejarah apabila melahirkan dua Perdana Menteri.
Mereka ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Kemudian, Dr. Mahathir meletakkan jawatan apada Februari lalu kemudian digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.
Kenyataan itu sebelum ini dikeluarkan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa pencapaian itu membanggakan walaupun baharu berusia setahun.
“Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal pula bangga Bersatu mencipta sejarah kerana memiliki dua Perdana Menteri walaupun umur baharu setahun jagung.”
Demikian sindir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.
Beliau juga menyindir Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwanya berbangga kerana berjaya menumbangkan UMNO sebagai parti besar dan lama.
Oleh demikian, beliau menempelak parti tersebut dengan menyatakan terdapat banyak lagi sejarah dicipta oleh Bersatu pada pasca pemerintahan Pakatan Harapan yang tumbang selepas Dr. Mahathir meletakkan jawatan.
“Sebenarnya banyak lagi sejarah ciptaan Bersatu. Antaranya, menang satu kerusi di Perak tetapi Menteri Besar dilantik daripada Bersatu.
“Menang 13 kerusi tetapi jawatan Perdana Menteri mereka punya. Justeru PPBM parti yang bangga mencipta sejarah
“Tetapi banyak lagi sejarah lain yang Bersatu cipta. Cuma mereka malu untuk berbangga. Antaranya Bersatu satu-satunya parti penguasa yang didokong oleh majoriti Ahli Parlimen ‘katak’.
“Perdana Menteri Bersatu juga mencipta sejarah kerana kali pertama nasihat darurat di bawah Perkara 40 kepada Yang di-Pertuan Agong tidak laku dan tidak diguna pakai.
“Di Johor, dua Menteri Besar daripada Bersatu paling singkat pegang jawatan dalam tempoh tidak sampai tiga tahun.
“Apakah kerajaan dokongan Bersatu akan tumbang kali ke-2 sebelum tamat tempoh sepenggal memerintah?” ujarnya. – SM
PPBM lahirkan 2 PM setahun, bakal menang besar PRU15, kata Wan Fayhsal