Dua Lelaki Tular Bergaduh Didenda RM800

Terkini di My KMU !!!!---->

KAJANG – Dua lelaki yang tular bergaduh di hadapan pondok pengawal keselamatan sebuah kondominium minggu lalu, masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Syahrul Sazly Md. Sain menjatuhkan hukuman denda itu terhadap penghantar makanan, Jasmady Jasman, 27, dan pengawal peribadi, Saiful Shazni Hanif, 33, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan mereka membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan gaduh gempar di tempat awam yang mana ia mengganggu ketenteraman di pondok pengawal keselamatan, sebuah kondominium di Bandar Mahkota Cheras, di sini pukul 11.15 pagi pada 25 November lalu.

Berikutan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 160 Kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar mereka tidak bergaduh di tempat awam.

“Semua masalah boleh diselesaikan dengan baik tanpa melakukan pergaduhan,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman ringan.

Jasmady dalam rayuannya berkata, dia hanya bertindak untuk mempertahankan diri sementara Saiful Shazni, merayu dikenakan hukuman ringan memandangkan dia merupakan seorang penanggung tunggal keluarga.

Mengikut fakta kes pada hari kejadian, Jasmady mahu menghantar makanan kepada Saiful Shazni namun dihalang masuk oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut.

Jasmady kemudian telah menghubungi Saiful Shazni supaya turun dan mengambil makanan di pondok pengawal.

Saiful Shazni yang tidak berpuas hati dengan permintaan Jasmady itu kemudian telah bertindak memaki sehingga berlaku pergaduhan antara mereka. – K! ONLINE

[VIDEO] Rider Food Panda Kena Belasah, Pelanggan Bersikap Biadap Dikecam Netizen

Leave a Reply